Malaysia Berita

‘Kita memang perlukan pemain naturalisasi’

Tidak dinafikan bahawa pemain naturalisasi adalah antara pilihan yang ada bagi meningkatkan kualiti bola sepak negara dalam jangka panjang dan juga pendek.

Tetapi perlu diakui ia bukanlah jalan pintas untuk menikmati setiap kejuaraan di peringkat tertinggi dan negara yang menggunakan pemain naturalisasi tidak boleh terlalu bergantung harap dengan pemain-pemain ini.

Setakat ini, Mohamadou Sumareh, pemain kelahiran Gambia adalah pemain pertama yang diambil sebagai pemain naturalisasi bagi membarisi skuad kebangsaan pada Piala AFF Suzuki 2018.

Justeru, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) menerusi Presiden, Datuk Hamidin Mohd Amin menegaskan bahawa FAM telah menyiapkan kertas kerja untuk prosedur operasi standard (SOP) bagi pengambilan pemain naturalisasi.

SOP ini melibatkan tiga jenis pendekatan iaitu untuk jangka masa pendek, pertengahan dan panjang.

Bercakap kepada Berita Harian, Hamidin mengakui bahawa negara memerlukan pemain naturalisasi.

“Bukan untuk kejayaan segera tetapi kita memang perlukan pemain naturalisasi. Kita juga mungkin tidak mahukan begitu ramai sehingga 20 atau 30 pemain.

“Apabila sampai masanya, kita akan berhenti (guna pemain naturalisasi), sebab itulah kita ada pelan jangka masa pendek, pertengahan dan panjang.

“Kita tidak mahu gagal seperti beberapa negara yang pernah mengambil pendekatan sama dan kita mengadakan kajian mendalam berhubung perkara ini,” katanya kepada Berita Harian.

Beliau juga menjelaskan bahawa kertas kerja terbabit akan dibentangkan dalam Mesyuarat Exco pada 30 Mac nanti.

“Isu ini membabitkan kelulusan kerajaan kerana ada kriteria tertentu di mana mungkin ada keistimewaan untuk kes sebegini.

“Kita juga turut mengambil berat mengenai kebimbangan sekiranya pemain naturalisasi mengambil kesempatan mendapatkan pasport Malaysia untuk beraksi di negara lain,” katanya.