Premier League Berita

Cardiff City lancar jersi 2020/2021 dengan slogan Malaysia Berjaya

Cardiff City FC melancarkan jersi baharu musim 2020/2021 dengan slogan Malaysia Berjaya.

Ini pertama kali slogan baharu diperkenalkan bagi menggantikan Visit Malaysia yang digunakan sejak pemilik Cardiff City, Tan Sri Vincent Tan mengambil alih kelab itu pada 2010.

Jersi utama mengekalkan warna biru sebagai warna tradisi Cardiff, dengan rekaan ombak di hadapan baju dan disertakan garisan hijau di bahagian kolar dan lengan, selain tiga garisan warna putih ikonik Adidas selaku penaja rasmi jersi.

Jersi tuan rumah itu dilengkapkan dengan seluar warna putih dengan garisan warna biru manakala sarung kaki berwarna biru.

Jersi kedua iaitu jersi yang akan dipakai di stadium pihak lawan pula mempamerkan warna hijau muda dengan rekaan unik di bahagian kolar yang dilengkapi dengan tiga garisan berwarna navy.

Seluar juga berwarna navy dengan tiga garisan berwarna putih dan sarung kaki berwarna navy.

“Sejak 2011, ia adalah satu penghormatan apabila dapat membantu mempromosikan Malaysia melalui jersi kami,” katanya menerusi laman sesawang rasmi Cardiff City FC.

“Mulai musim 2020/21, jersi Cardiff akan mempamerkan ‘Malaysia Berjaya’ yang sudah tentu merujuk kepada negara saya tetapi juga syarikat Berjaya Corporation yang ditubuhkan pada tahun 1984 dan telah berjaya berkembang sehingga ke seluruh dunia pada hari ini.

“Saya sangat bangga dengan negara saya dan Berjaya Corporation. Bahkan Berjaya adalah perkataan Malaysia untuk berjaya dan itu yang saya harapkan daripada jurulatih Neil Harris dan para pemain kami pada musim akan datang.

“Berjaya Malaysia: Kejayaan untuk Malaysia dan Cardiff City.”

Cardiff akan bersaing dalam EFL Championship untuk musim kedua selepas menamatkan musim 2019/2020 di tempat kelima, namun tewas kepada Fulham dalam pusingan separuh akhir penentuan ke Premier League.