Pemilik JDT, Tunku Ismail Sultan Ibrahim mengakui Daniel Ting bersetuju untuk mengambil vaksin setelah ditawarkan beraksi dengan juara bertahan Liga Super itu.
Ini setelah pemain pertahanan kiri berusia 29 tahun itu meninggalkan KL City musim lalu selepas enggan mengambil vaksin.
Bagaimanapun, TMJ berkata, pasukannya berminat untuk mengambil Daniel kerana mahu memberikan persaingan kepada La’vere Corbin Ong.
“Bila saya tengok kita punya pertahanan kiri, ada Corbin sahaja,” kata TMJ dalam sesi bersama peminat malam tadi.
“Kita tak ada sesiapa yang beri saingan kepada Corbin, saya tak nak dia begitu selesa.
“Pasukan scout JDT cakap Daniel Ting ada di England dan dia bebas (tidak beraksi dengan mana-mana kelab).”
Namun, TMJ akui bimbang untuk menandatangani Daniel kerana beliau masih belum divaksin.
“Tetapi setelah saya bercakap dengan beliau, beliau bersetuju untuk divaksin dan sanggup balik untuk teruskan kariernya di JDT.
“Jadi saya bersyukur sebab dapat dua pertahanan kiri untuk beri saingan terhadap Corbin.
“Amat mustahak untuk ada dua tiga pemain di setiap posisi.”
Semalam, JDT mengumumkan Daniel Ting sebagai pemain baharu. Beliau pernah beraksi dengan JDTII pada musim 2017.