Malaysia Berita

Dion Cools: Perlawanan Singapura persembahan terburuk saya

Dion Cools mengakui mempamerkan prestasi terburuk sejak mewakili skuad kebangsaan tahun lalu apabila menjadi punca Malaysia tewas 2-1 kepada Singapura baru-baru ini.

Beliau gagal beraksi dengan baik sebagai pertahanan sayap kanan, apabila kedua-dua gol dibolosi di sebelah kanan pertahanan negara.

Ini meskipun beliau dinobatkan sebagai Pemain Terbaik Perlawanan ketika Malaysia menewaskan Filipina 2-0.

“Saya tidak akan menipu,” katanya kepada Stadium Astro.

“Mungkin inilah persembahan terburuk saya buat skuad kebangsaan dan saya benar-benar meminta maaf kepada semua.

“Perlawanan sebelum ini (lawan Filipina) menang hebat. Perlawanan ini (lawan Singapura), saya perlu lupakan segera. Ini sebahagian daripada kehidupan.

“Terima kasih atas sokongan yang diberikan. (Harap) kita boleh meraikan (kejayaan) bersama-sama selepas ini,” kata Cools.