Malaysia Berita

Kim Pan-gon: Saya mahu lihat kemampuan sebenar pemain Malaysia

Ketua jurulatih negara, Kim Pan-gon mengakui beliau mahu melihat kemampuan sebenar Malaysia apabila bertemu dengan negara jiran, Singapura dalam perlawanan FAS Tri-Nations Series esok.

Ini meskipun pasukannya meraih kemenangan 2-0 ke atas Filipina dalam perlawanan pembukaan beberapa hari lalu.

“Kita ada objektif apabila kita beraksi dalam dua perlawanan ini,” kata Pan-gon kepada Berita Harian.

“Saya cuba untuk melihat kemampuan sebenar pemain supaya kita tahu bagaimana untuk bermain dengan baik.

“Kita akan lakukan eksperimen daripada segi taktikal perlawanan. Kita akan berdepan lawan yang berbeza. Jadi ini peluang yang baik untuk kita.”

Meskipun berstatus perlawanan persahabatan, beliau mahu Malaysia meraih kemenangan ke atas Singapura.

“Kita jangkakan untuk menang perlawanan ini.

“Tetapi kita mahu memaksimumkan situasi untuk melihat bagaimana reaksi pemain ketika dalam perlawanan dan menterjemahkan perancangan berdepan Singapura.

“Kita perlu menyesuaikan diri dengan lebih pantas, kita akan menilai prestasi pemain dan sangat penting untuk kita memenangi perlawanan ini.”

Pan-gon bagaimanapun tidak terlalu beremosi mengenai perseteruan antara Malaysia dengan Singapura, kerana beliau memilih untuk melihat gambaran yang lebih besar.

“Saya tahu ini adalah perlawanan musuh tradisi dan ia perlawanan yang amat penting kerana sebagai seorang jurulatih, setiap perlawanan penting…tanpa keputusan yang baik kita tidak boleh bercakap mengenainya.

“Tetapi saya fikir yang lebih penting ialah membina pasukan ini.

“Kami perlu membina satu asas yang amat kukuh, saya perlu lebih mengetahui mengenai sifat dan keupayaan pemain dalam keadaan tertentu.

“Kita perlu membina asas yang kukuh bagi mengharungi kelayakan Piala Asia dan Piala AFF.

“Sudah tentu saya tidak boleh mengganggap perlawanan ini sebagai perlawanan persahabatan semata-mata.”