Malaysia Berita

Kim Pan-gon tiba di Malaysia minggu depan, FAM terima 6 permohonan pembantu jurulatih tempatan

Kim Pan-gon akan tiba di Malaysia minggu depan bagi memulakan tugasnya sebagai ketua jurulatih skuad Harimau Malaya.

Setiausaha Agung FAM, Saifuddin Abu Bakar berkata, pihaknya menerima sekurang-kurangnya enam permohonan bagi mengisi jawatan pembantu jurulatih tempatan.

“Pada peringkat awal, kita menerima sekurangnya enam permohonan untuk mengisi jawatan terbabit,” katanya kepada Harian Metro.

“FAM akan meminta Pan-gon memilih individu berkenaan kelak.

“Sekarang ini memang banyak spekulasi mengaitkan dengan individu tertentu untuk mengisi jawatan itu namun tunggu saja apabila ketua jurulatih baharu Harimau Malaya tiba dan kita akan membuat pengumuman.”

Ketika ini, antara nama yang dikaitkan dengan jawatan pembantu jurulatih tempatan adalah ketua jurulatih Terengganu, Nafuzi Zain, dan penolong jurulatih Selangor, Nidzam Jamil.

Pan-gon dijangka membawa empat pembantunya iaitu iaitu seorang penolong jurulatih, seorang jurulatih penjaga gol, seorang jurulatih kecergasan dan seorang juruanalisis.

Barisan kejurulatihan skuad kebangsaan akan mula memantau pemain dalam saingan Liga Malaysia 2022 yang akan berlangsung hujung bulan ini bagi panggilan pertama kem latihan pusat pada Mac 2022 sebagai persiapan awal menjelang pusingan kelayakan Piala Asia 2023, Jun depan.