Malaysia Berita

FAM: Belum ada pengganti Tan Cheng Hoe

Setiausaha Agung FAM, Mohd Saifuddin Abu Bakar mengesahkan bahawa pihaknya belum mempunyai calon yang sesuai untuk menggantikan Tan Cheng Hoe sebagai jurulatih baharu skuad Harimau Malaya.

Ini setelah Cheng Hoe meletakkan jawatan berkuat kuasa 1 Januari, susulan kegagalan skuad kendaliannya mara ke perlawanan akhir Piala AFF Suzuki 2020.

Namun, kata Saifuddin, mesyuarat Jawatankuasa Pasukan Kebangsaan akan berlangsung dalam masa terdekat.

“Mengenai Brad Maloney..saya tak tahu,” katanya kepada Sinar Harian.

“Sebab perkara ini pihak jawatankuasa yang akan putuskan. Kita pun tak tahu apa keputusan jawatankuasa nanti.

“Cuma, mesyuarat itu akan diadakan dalam masa terdekat kerana kita pun dah tak ada masa. Ini kerana dalam tempoh enam bulan, kita akan harungi kelayakan Piala Asia.”

Dalam pada itu, katanya, mesyuarat itu akan tetap membentangkan laporan bedah siasat skuad kebangsaan meskipun Cheng Hoe telah meletakkan jawatan.

“Walaupun Cheng Hoe dah umumkan letak jawatan, tetapi pihak jawatankuasa akan tetap bincang laporan yang dikemukakannya. Masa mesyuarat itu juga kita akan adakan sekali bedah siasat.

“Kita akan bincangkan perkara ini dalam masa terdekat kerana ia bukannya keputusan perseorangan tetapi keputusan jawatankuasa dan kemudiannya akan dibawa kepada pihak exco untuk pengesahan.”