Malaysia Berita

Brad Maloney: Ganti Tan Cheng Hoe? FAM belum hubungi saya

Jurulatih skuad B-23 negara, Brad Maloney mengakui beliau belum mendapat sebarang tawaran daripada FAM berhubung kekosongan jawatan ketua jurulatih Harimau Malaya.

Kekosongan itu berlaku setelah Tan Cheng Hoe meletakkan jawatan berkuat kuasa 1 Januari, susulan kegagalan Malaysia mara ke perlawanan akhir Piala AFF Suzuki 2020.

“Perkara ini (menggantikan Cheng Hoe) tidak pernah dimaklumkan kepada saya,” katanya kepada Astro Arena.

“Saya sendiri tak pernah memikirkan kemungkinan tersebut. Saya hanya fokus pada tugas-tugas bersama skuad B23. Saya pun tak pernah terfikir soal mengendalikan skuad senior.”

Beliau bagaimanapun meluahkan rasa sedih apabila Cheng Hoe meletakkan jawatan.

“Saya sedih bila Cheng Hoe undur diri. Beliau sudah menjalankan tugas dengan sangat baik sejak bersama skuad kebangsaan, termasuk saat-saat yang sukar.

“Skuad negara telah menampilkan permainan yang bagus dan meraih banyak perkara positif. Jadi saya sangat sedih bila mendengar berita ini.”

Ketika ditanya sama ada beliau bersedia melatih skuad senior dan junior seperti Park Hang Seo di Vietnam dan Shin Tae Yong di Indonesia, beliau dilihat belum bersedia melakukannya.

Lagipun, beliau baru sahaja melanjutkan kontrak dua tahun pada minggu lalu.

“Seperti yang saya katakan, saya belum mendapat khabar dari FAM untuk melatih skuad senior. Saya juga tidak pernah terfikir melatih skuad senior.

“Skuad B23 tahun ini mempunyai jadual yang cukup padat, sangat sukar, dengan empat hingga lima kejohanan. Skuad senior juga ada beberapa kejohanan. Jadi secara realitinya, saya tak nampak kemungkinan itu.”