Malaysia Berita

Brad Maloney: Tiada layanan istimewa kepada pemain kacukan, luar negara

Ketua jurulatih skuad B-19 negara, Brad Maloney menegaskan tiada layanan istimewa diberikan kepada semua pemainnya, termasuk pemain kacukan.

Ini selepas pemain kacukan Malaysia dan England, Zachry Raiff Ghazie Yeoh dipanggil untuk kem latihan pusat sebagai persiapan Kejohanan AFC B-19 di Uzbekistan, Oktober depan.

Malah, Maloney juga enggan memberikan layanan istimewa kepada pemain yang berpangkalan di Amerika Syarikat, Wan Kuzri Wan Kamal.

“Bekerja keras dan buktikan anda layak untuk mendapat tempat di dalam pasukan ini,” katanya kepada Bernama.

“Tiada keistimewaan diberikan kepada pemain dalam pasukan ini. Setiap orang perlu berjuang untuk mendapat tempat mereka.

Sebagai contoh, Wan Kuzri ialah seorang pemain yang mempunyai kualiti kerana beraksi dalam pasukan senior di Amerika Syarikat, tetapi seperti yang pernah saya katakan, dia perlu bersaing untuk mendapatkan tempatnya dengan pemain lain.”

Zachry juga bersetuju dengan Maloney dan menganggap jurulatih hanya akan menurunkan pemain berdasarkan prestasi dan kesungguhan pemain.

“Bagi saya, kenyataan mengatakan bahawa pemain berdarah kacukan mempunyai peluang cerah mewakili pasukan kebangsaan adalah tidak betul kerana jurulatih tidak bersikap pilih kasih kerana beliau melihat prestasi kesemua pemain.

“Persaingan agak sengit, tapi saya akan bekerja keras untuk dapatkan tempat dalam skuad utama selepas gagal dalam percubaan pertama pada tahun lepas.”