Malaysia Berita

FAM: Kami tiada hasrat pecat Tan Cheng Hoe

Setiausaha Agung FAM, Saifuddin Abu Bakar mengesahkan bahawa FAM tidak bercadang untuk memecat jurulatih kebangsaan, Tan Cheng Hoe.

Ini meskipun skuad Harimau Malaya menunjukkan prestasi hambar di Piala AFF Suzuki 2020 apabila sekadar menduduki tempat ketiga Kumpulan B sekali gus tersingkir daripada kejohanan.

“Tiada rancangan untuk memecat Cheng Hoe, dia ada satu tahun lagi untuk berkhidmat dalam kontraknya,” katanya kepada NST.

“2022 adalah musim penting kerana pasukan kebangsaan akan bermain dalam kelayakan Piala Asia dan menggantikan jurulatih bukanlah satu langkah yang baik.

“Jika kami membawa masuk jurulatih baharu, dia mungkin menghadapi kesukaran menyediakan skuad yang hebat untuk kelayakan.

“Tambahan pula, membawa masuk jurulatih baharu tidak akan menjamin hasil yang baik. Ia bukan masa untuk bercakap mengenai kedudukan jurulatih.

“Fokus kami adalah untuk mencari penyelesaian dan menjadikan pasukan negara lebih baik kerana kami mahu melihat mereka layak ke Piala Asia 2023.”

Skuad kebangsaan bermula baik dalam AFF minggu lalu apabila menewaskan Kemboja 3-1 dan Laos 4-0 namun mereka tewas 3-0 kepada Vietnam dan kalah 4-1 kepada Indonesia sekali gus gagal mencapai sasaran mara ke final.

Selepas tersingkir, FAM tampil bertanggungjawab sepenuhnya atas kegagalan dalam Piala AFF, namun tiada seorang individu pun yang meletakkan jawatan.

Sebaliknya, FAM berkata, pengurusan pasukan kebangsaan sedang menyediakan laporan bedah siasat, yang akan dibentangkan semasa mesyuarat jawatankuasa eksekutif FAM tahun depan.

“Tiada perbincangan dalam FAM mengenai masa depan Cheng Hoe,” katanya kepada NST.

“Adalah perkara biasa bagi pengurusan pasukan kebangsaan untuk menjalankan bedah siasat selepas tugasan antarabangsa.

“Kami akan mendapat laporan berasingan daripada pengurus pasukan kebangsaan, ketua jurulatih dan penyelaras pasukan.

“Ia akan disemak oleh jawatankuasa pasukan kebangsaan yang diketuai oleh presiden FAM sebelum dibincangkan dalam mesyuarat exco.

“Tujuannya adalah untuk mengetahui apa yang berlaku dalam Piala AFF dan apa yang boleh kami lakukan untuk memperbaiki keadaan menjelang kelayakan Piala Asia pada Jun.”