Liga Super Malaysia Berita

Terengganu tawar kontrak baharu kepada Nafuzi Zain

Terengganu membuat keputusan untuk menawarkan kontrak baharu kepada Nafuzi Zain untuk musim hadapan.

Perkara itu diputuskan dalam mesyuarat Ahli Lembaga Pengarah TFC Sdn Bhd yang dipengerusikan Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.

Ketua Pegawai Eksekutif TFC Sdn Bhd, Ab Rasid Jusoh berkata keputusan untuk mengekalkan Nafuzi dibuat atas pelbagai faktor terutama bagi persediaan musim Liga Malaysia 2022.

“Keputusan mengekalkan Nafuzi dipersetujui oleh ahli lembaga pengarah setelah mengambil kira banyak aspek,” katanya dalam kenyataan.

“Termasuk senarai pemain yang akan bersama dan akan dilepaskan bagi membawa cabaran saingan Liga Malaysia musim depan.

“Selain itu, ia juga atas dasar komitmen tinggi yang ditunjukkan oleh pengendali muda itu ketika membimbing pasukan TFC sebelum ini.

“Pihak kami amat berbesar hati dengan komitmen yang ditunjukkan beliau selama ini dan diharap akan terus meningkat dengan aras pencapaian yang ditetapkan kelab bagi musim 2022.”

Nafuzi memulakan karier kejurulatihannya sebagai penolong jurulatih kepada Irfan Bakti Abu Salim pada 2018 sebelum mengambil alih tugas sebagai ketua jurulatih pada 2019.

Khidmat beliau terus disambung sehingga musim 2021 yang menyaksikan Terengganu mengakhiri Liga Super di tangga keempat dan mara ke separuh akhir Piala Malaysia.