Liga Super Malaysia Berita

Kalah dengan KL City, TMJ mahu rombak pasukan JDT untuk musim depan

Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim mengakui beliau akan membuat rombakan terhadap barisan pemain JDT selepas tewas mengejut 2-0 kepada KL City pada perlawanan akhir Piala Malaysia 2021.

Ini selepas beliau menganggap kekalahan di Stadium Nasional Bukit Jalil sebagai satu wake up call.

“Saya rasa untuk tiga musim terakhir ini, kami menjadi terlalu selesa, terlalu yakin dan kami tidak mengeluarkan belanja untuk skuad,” katanya menerusi kenyataan rasmi Johor Southern Tigers.

“Tetapi kini selepas apa yang terjadi, kami akan mula berbelanja semula kerana kami sudah dicabar. Ianya akan menjadikan kami lebih bermotivasi untuk bertanding tahun hadapan.

“Saya anggap kekalahan adalah positif untuk JDT. Kami akan menjadi lebih obses untuk memperbaiki kesilapan kami dan menguatkan lagi pasukan ini.

“Ada beberapa pemain akan dikekalkan, ada yang akan dipinjamkan keluar dan ada pemain yang akan dilepaskan.”

Katanya, Pengarah Teknikal JDT, Alistair Edwards akan membuat pengumuman kepada para penyokong dengan lebih mendalam lagi nanti.

“Saya baru ingat hendak berehat dari bola sepak tahun hadapan tetapi apa yang berlaku membuatkan saya tidak jadi berehat. Seperti yang saya pernah katakan, ‘a wounded Tiger is always eager to bounce back’.

JDT akan menjalani latihan pra-musim di Dubai dan Abu Dhabi, UAE untuk bermain dengan beberapa kelab tempatan dan juga kelab-kelab Eropah untuk persiapan musim Liga Malaysia 2022.