Liga Super Malaysia Berita

Tan Cheng Hoe akhirnya panggil Arif Aiman sertai skuad Piala Suzuki AFF

Jurulatih kebangsaan, Tan Cheng Hoe membuat keputusan mengejut apabila memanggil pemain sayap Johor Darul Ta’zim, Arif Aiman Mohd Hanapi untuk kem latihan pusat skuad Harimau Malaya bagi menghadapi Piala AFF Suzuki 2020.

Ini satu pusingan-U terhadap keputusannya sebelum ini yang tidak memanggil Arif dalam senarai terawal 28 pemain selepas mengadakan perbincangan bersama barisan kejurulatihan JDT.

“Kita terpaksa rehatkan Arif Aiman, bukan kita sengaja tinggalkan beliau,” kata Cheng Hoe dua minggu lalu.

“Kalau kita lihat beliau pemain muda yang berpotensi dan ia dapat dilihat dari segi permainannya. Sudah tentu pemain muda ini kita tidak boleh terlebih guna atau dia mungkin tidak dapat beraksi dengan baik akibat keletihan.

“Jika lihat pemain muda ini, dia sentiasa bermain dalam perlawanan yang kompetitif, beliau perlukan rehat. Saya pasti untuk tahun depan pada kempen Kelayakan Piala Asia 2023 beliau akan bersedia.”

Namun FAM mengumumkan bahawa Arif telah melapor diri ke kem latihan pusat skuad Harimau Malaya hari ini.

Beliau menggantikan rakan sepasukan JDT, Mohamadou Sumareh yang disahkan mengalami kecederaan.

Arif yang baru berusia 19 tahun, beraksi sebanyak 36 perlawanan dan menjaringkan tiga gol dalam kesemua pertandingan musim ini.

Ini termasuk 21 penampilan dalam Liga Super, 14 perlawanan dalam kesebelasan utama dan 7 sebagai pemain gantian.

Selain itu, Cheng Hoe turut memanggil penjaga gol, Kalamullah Al-Hafiz Mat Rowi bagi menggantikan Azri Ab Ghani yang mengalami kecederaan.