Liga Super Malaysia Berita

FAM pertahan pengadil, namun sedang kaji penggunaan VAR

Pengerusi Jawatankuasa Pengadil FAM, Datuk S. Sivasundaram tampil mempertahankan pengadil meskipun dihujani kritikan, terutamanya dalam perlawanan separuh akhir menentang Piala Malaysia baru-baru ini.

Beliau berkata, FAM hanya akan mengambil tindakan berdasarkan penilaian dibuat penilai pengadil bertugas pada sesuatu perlawanan.

Bagaimanapun, katanya, segala kritikan dan cadangan akan diambil untuk memperbaiki segala kelemahan, dalam memastikan usaha memartabatkan pengadil tempatan tercapai.

“Pengadil sentiasa berkecuali dan kita ikut undang-undang permainan ditetapkan FIFA,” katanya kepada Bernama.

“Setakat ini dalam saingan Piala Malaysia, saya tidak mendapat apa-apa aduan.

“Dalam kempen liga sebanyak 132 perlawanan, saya baru terima sembilan peratus aduan, jadi mana-mana boleh diperbaiki kita akan perbaiki.

“Kita mempunyai bahagian Pembangunan Pengadil dan mana-mana pengadil yang didapati tidak menunjukkan prestasi akan dirujuk ke situ.

“Jika pengadil itu bersalah kita akan hukum, tapi kalau dia tidak bersalah sudah tentu FAM akan sentiasa melindungi pengadil.”

Bagaimanapun, Sivasundaram berkata FAM masih dalam kajian mengenai penggunaan VAR dalam saingan di peringkat domestik.

Pemasangan VAR dianggarkan menelan kos belanja sehingga RM20 juta.