Liga Super Malaysia Berita

FAM: Tiada lagi kepentingan kerajaan negeri ke atas pasukan Liga Malaysia pada 2023

Naib Presiden FAM, Mohd Firdaus Mohamed menjangkakan kerajaan negeri tidak akan mempunyai sebarang kepentingan lagi terhadap mana-mana pasukan Liga Malaysia menjelang musim 2023.

Malah, beliau yakin isu-isu melibatkan proses penswastaan Liga Malaysia dijangka selesai sepenuhnya pada tahun depan.

Ini kerana, beliau yang sebelum ini menjadi individu penting dalam proses penswastaan daripada persatuan bola sepak (FA) ke kelab bola sepak (FC) sebagai Pengerusi Jawatankuasa Khas Bola Sepak Profesional FAM menyifatkan antara kelemahan utama buat masa ini adalah kebergantungan pasukan kepada dana kerajaan negeri.

Katanya, apabila berlaku pertukaran kerajaan atau pucuk kepimpinan, ia membawa kesan ke atas peruntukan kewangan yang dijanjikan buat pasukan seperti dirancang dalam bajet sebelum musim bermula, sehingga masalah tunggakan gaji berlarutan walaupun pasukan telah bertukar status kepada FC.

“Saya difahamkan MFL telah berusaha untuk memperkemaskan keadaan itu,” katanya kepada Bernama.

“Kita tunggu sehingga 2023, sehingga penswastaan sepenuhnya seperti yang disarankan oleh FIFA agar tiada lagi kepentingan negeri ke atas pasukan tersebut.

“Jadi saya rasa semua pasukan sedang berusaha untuk berada dalam landasan yang betul bagi menjadikan pasukan betul-betul profesional dengan bantuan daripada pihak MFL sendiri.”

Sepanjang musim ini, beberapa pasukan Liga Malaysia termasuk Kedah, Sarawak United, Perak dan Melaka United dilaporkan menghadapi masalah tunggakan gaji pemain.

Namun, Mohd Firdaus mahu pasukan lain mencontohi Johor Darul Ta’zim (JDT), Kelantan dan Petaling Jaya (PJ) City FC yang beroperasi tanpa mengharapkan dana kerajaan.

“Saya difahamkan banyak pasukan sedang ke arah itu seperti Sri Pahang yang tidak lagi guna dana kerajaan negeri. Mungkin ada pasukan hanya minta dana untuk pembangunan sahaja, bukan untuk pasukan utama.

“Saya yakin dan percaya tahun depan mereka akan bertanding dengan kedudukan kewangan sendiri. Proses penswastaan penuh ini memang mengambil masa dan ada beberapa cabarannya.”