Malaysia Berita

Skuad Piala AFF: 28 pemain Harimau Malaya terpilih jalani kem latihan pusat

Seramai 28 pemain dipilih oleh ketua jurulatih kebangsaan, Tan Cheng Hoe untuk menyertai kem latihan pusat skuad Harimau Malaya bermula Isnin, 22 November 2021 bagi persiapan menghadapi Piala Suzuki AFF 2020.

Daripada jumlah itu, seramai 7 pemain JDT yang dipanggil iaitu Aidil Zafuan, Shahrul Saad, Safawi Rasid, Akhyar Rashid, Mohamadou Sumareh, Syafiq Ahmad dan Guilherme de Paula.

Ia diikuti dengan 4 pemain Kedah iaitu Rizal Ghazali, Ariff Farhan Md Isa, Baddrol Bakhtiar dan Fayyadh Zulkifli.

Selangor juga mempunyai 4 pemain iaitu Khairulazhan Khalid, Syahmi Safari, Mukhairi Ajmal dan Shahrel Fikri.

Selain itu, 2 pemain Kuala Lumpur dipanggil iaitu Akram Mahinan dan Kenny Pallraj, 2 pemain Terengganu iaitu Arif Fadzilah Abu Bakar dan Faisal Halim dan 2 pemain PJ City iaitu Darren Lok dan R Kogileswaran.

Tidak ketinggalan Khairul Fahmi Che Mat (Melaka), Quentin Cheng (Pulau Pinang) dan Azri Ghani (Perak).

Pemain yang beraksi di luar negara juga dipanggil iaitu Junior Eldstal, Dominic Tan, Luqman Hakim Shamsudin dan Dion Cools.

Manakala, Kalamullah Al-Hafiz Md Rowi, Rodney Celvin Akwensivie dan Mohamad Hakimi Abdullah diletakkan dalam senarai bersedia.

Namun, hanya pemain yang pasukannya sudah terkeluar daripada saingan Piala Malaysia 2021 akan melapor diri di Wisma FAM, Kelana Jaya pada Isnin, 22 November 2021.

Ia disusuli pemain yang pasukannya tersingkir pada peringkat separuh akhir Piala Malaysia 2021 untuk melapor diri pada Ahad, 28 November 2021.

Seterusnya, pemain yang pasukannya layak ke Final Piala Malaysia 2021 pada Selasa, 30 November 2021 akan melapor diri pada Rabu, 1 Disember 2021.

Bagi pemain-pemain yang berpangkalan di luar negara, mereka akan melapor diri mengikut tarikh pelepasan yang diberikan oleh kelab masing-masing.

Bagaimanapun, Cheng Hoe hanya akan menyenaraikan seramai 24 pemain untuk skuad akhir ke Piala Suzuki AFF 2020 yang mana skuad Harimau Malaya dijadual berlepas ke Singapura pada Jumaat, 3 Disember 2021.

Skuad Harimau Malaya akan bersaing dalam Kumpulan B dan turun dalam perlawanan pembukaan berdepan Kemboja di Stadium Bishan, Singapura, 5.30 petang pada 6 Disember.

Kemudian, Malaysia akan bertemu Laos di Stadium Bishan, Singapura, 5.30 petang pada 9 Disember.

Perlawanan ketiga menyaksikan Malaysia bertemu dengan juara bertahan di Stadium Bishan, Singapura, 8.30 malam pada 12 Disember.

Malaysia akan melengkapkan jadual perlawanan peringkat kumpulan dengan bertemu musuh tradisi Indonesia di Stadium Nasional, Singapura, 8.30 malam pada 19 Disember.

Pusingan separuh akhir adalah pada 22 & 23 Disember 2021 dan 25 & 26 Disember 2021 di Stadium Nasional, Singapura

Perlawanan akhir akan diadakan dua kali iaitu pada 29 Disember 2021 dan 1 Januari 2021 di Stadium Nasional, Singapura.