Malaysia Berita

De Paula, Dion Cools bakal sertai skuad Piala AFF, tiada Liridon Krasniqi

Pengurus pasukan negara, Datuk Mohd Yusoff Mahadi mengesahkan bahawa Dion Cools akan menyertai skuad Piala AFF Suzuki di Singapura pada Disember ini, tetapi pemain naturalisasi Liridon Krasniqi digugurkan.

Ini bermakna hanya Guilherme De Paula dan Mohamadou Sumareh selaku pemain naturalisasi akan mewakili negara di kejohanan peringkat Asia Tenggara.

“Setakat ini perbincangan dengan ketua jurulatih Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe, Liridon tidak berada dalam senarai untuk dibawa ke kejohanan Piala AFF 2020 nanti,” katanya kepada Harian Metro.

“Kita melihat Liridon tidak beraksi banyak perlawanan, jadi kita tidak mahu masalah yang berlaku di UAE (Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023) sebelum ini berlaku iaitu dari segi kecergasan.”

Bagaimanapun, Yusoff mengesahkan bahawa Dion Cools berminat untuk beraksi di Piala AFF, namun hanya akan menyertai skuad negara pada perlawanan keempat Kumpulan B menentang Indonesia, 19 Dis ini.

Ini kerana pasukannya FC Midtjylland dijangka berdepan Brondby dalam suku akhir Piala Denmark pada 13 Dis ini, sebelum berehat hampir dua bulan bagi memberi laluan cuti musim sejuk sebelum bersambung pada 20 Feb tahun depan.

“Pegawai kita ada berhubung dengan Cools dan beliau memang menyatakan minat untuk bersama Harimau Malaya di Piala AFF 2020.”

Sementara itu, Cheng Hoe berterima kasih kepada FC Midtjylland kerana membenarkan Cools menyertai Piala AFF.

“Kita terlepas khidmat Cools dalam beberapa perlawanan awal di Singapura, tetapi kita harus berterima kasih kepada kelab beliau kerana biasanya kelab keberatan melepaskan pemain mereka ketika cuti musim sejuk.

“Cools akan bersama kami pada perlawanan keempat dan saya dapat tahu beliau gembira dan tidak sabar untuk membantu negara.”

Cools pertama kali beraksi bersama Harimau Malaya ketika perlawanan pusingan kedua Kumpulan G pada kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE) pada Jun lepas.