Malaysia Berita

Skuad Harimau Malaya bakal adakan perlawanan persahabatan dengan Timor Leste

Setiausaha Agung FAM, Mohd Saifuddin Abu Bakar mengesahkan bahawa pasukan Timor Leste menjadi pilihan utama untuk mengatur perlawanan persahabatan dengan skuad Harimau Malaya.

Ini bagi memastikan skuad kebangsaan dapat beraksi sekurang-kurangnya satu perlawanan sebelum memulakan kempen Piala Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF) 2020 di Singapura bermula 5 Dis ini.

“Selepas Brunei sah menarik diri daripada kempen Piala AFF 2020, hanya ada satu pasukan yang boleh kita atur aksi persahabatan iaitu Timor Leste,” kata Saifuddin kepada Bernama.

“Tetapi kita perlu dapatkan kelulusan AFF kerana terdapat syarat bagi mengatur aksi persahabatan di Singapura kerana kita masih tidak boleh bermain di sini.”

Saingan Piala AFF 2020 menyaksikan Malaysia diundi dalam Kumpulan B bertemu Kemboja pada 6 Dis, diikuti Laos (9 Dis) dan dua pertembungan epik menentang juara edisi 2018 Vietnam (12 Dis) dan Indonesia (19 Dis).