Malaysia Berita

Yusoff Mahadi: Bahagian tengah skuad Harimau Malaya tak berapa nak menjadi

Pengurus pasukan kebangsaan, Datuk Wira Mohd Yusoff Mahadi tidak menyalahkan barisan pertahanan di atas kekalahan Malaysia kepada Jordan, sebaliknya menganggap barisan tengah sebagai punca sebenar mereka dibolosi sehingga 4-0.

Beliau berkata, bahagian tengah perlu memperbaiki kelemahan yang ada sebelum berdepan Uzbekistan di Stadium Antarabangsa Amman, Jordan, esok.

“Kita nampak pemain memang berkeinginan untuk bermain betul-betul dan bersungguh-sungguh biarpun kebanyakan mereka ini ada yang pertama kali beraksi dalam skuad senior di pentas tertinggi,” kata Yusoff kepada Berita Harian.

“Tapi bahagian tengah kita boleh dikatakan tak berapa nak menjadi. Kita banyak kehilangan bola di bahagian tengah dan bila ‘enjin’ kita tak berapa lancar, pertahanan kita akhirnya buat kesilapan.

“Bukan kita nak menyalahkan mana-mana pemain kerana mereka pun baru pertama kali digandingkan. Cuma bahagian tengah kita agak tak menjadi.”

“Jadi saya percaya akan ada perubahan selepas ini dan kita juga akan baiki sebelum bermulanya Piala Suzuki AFF pada Disember nanti.

Bagaimanapun, Yusoff enggan menyalahkan pemain, kerana beliau menganggap terdapat jurang kualiti antara dua pasukan.

“Jordan bermain sangat pantas dan ada kelebihan fizikal yang baik.

“Pasukan kita juga sudah berikan yang terbaik dan kita menunjukkan kesungguhan untuk bersaing.”