UEFA Luar Negara

UEFA Nations League: Perancis mara ke final, bangkit dari ketinggalan tewaskan Belgium

Theo Hernandez menjaringkan gol kemenangan pada minit ke-90 sekaligus membantu Perancis bangkit dari ketinggalan dua gol untuk menewaskan Belgium 3-2 dan akan bertemu Sepanyol dalam perlawanan akhir UEFA Nations League, Ahad ini.

Dengan ketinggalan 2-0 pada separuh masa pertama selepas Yannick Carrasco menjaringkan gol pada minit ke-37 dan Romelu Lukaku pada minit ke-40, Les Bleus hampir pasti tersingkir dari kejohanan itu.

Namun, Perancis ternyata enggan mengalah apabila melakukan comeback yang menakjubkan di separuh masa kedua.

Pasukan Didier Deschamps memulakan permainan dengan agak perlahan apabila penjaga gol Perancis, Hugo Lloris berdepan dengan serangan demi serangan dari Belgium.

Serangan Belgium berhasil apabila Lloris dikejutkan dengan jaringan Carrasco, sebelum Lukaku merembat masuk bola dari sudut yang cukup sukar.

Perancis bermain dengan lebih agresif pada separuh masa kedua dan berpeluang untuk merapatkan jurang apabila Kylian Mbappe menghantar bola cantik kepada Antoine Griezmann tetapi penyerang itu gagal menyudahkannya walaupun sudah berada di depan gol.

Namun, Perancis akhirnya merapatkan kedudukan dengan jaringan Karim Benzema pada minit ke-62.

Griezmann menebus kesilapannya dengan memenangi penalti, yang disempurnakan oleh Mbappe sekaligus menyamakan kedudukan kepada 2-2.

Dengan hanya berbaki tiga minit, Belgium menyangka mereka telah memenangi perlawanan apabila Lukaku menjaringkan gol tetapi beliau didapati berada di posisi ofsaid oleh VAR.

Beberapa saat sebelum perlawanan berakhir, Theo Hernandez merembat bola dari jauh yang berjaya menewaskan Thibaut Courtois, sekaligus menjaringkan gol pertamanya untuk Perancis serta melengkapkan kebangkitan yang tidak disangka-sangka.