Malaysia Berita

Skuad Harimau Malaya: Hanya 5 pemain JDT tersenarai, De Paula masih lagi dipanggil

Hanya lima pemain JDT tersenarai dalam skuad kebangsaan kali ini, dengan Guilherme de Paula masih lagi mendapat kepercayaan jurulatih kebangsaan, Tan Cheng Hoe.

Ini selepas Cheng Hoe mengumumkan senarai nama 24 pemain yang akan menyertai kem latihan pusat skuad Harimau Malaya bermula Jumaat, 1 Oktober minggu depan.

Ini bagi menghadapi dua Perlawanan Antarabangsa Tier 1 bertemu pasukan ranking ke-93 dunia, Jordan pada 6 Oktober 2021 dan pasukan ranking ke-84 dunia, Uzbekistan pada 9 Oktober 2021, kedua-duanya dijadual berlangsung di Amman, Jordan.

Daripada senarai tersebut, Cheng Hoe hanya mengekalkan 12 pemain dari kem latihan pusat terdahulu pada Mei dan Jun lalu iaitu ketika menghadapi baki tiga perlawanan Kumpulan G, Pusingan 2 Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 bertemu UAE, Vietnam dan Thailand di Dubai, UAE.

Mereka terdiri daripada ketua pasukan, Aidil Zafuan Abd Radzak, penjaga gol Khairulazhan Khalid, Rizal Ghazali, Dominic Tan, Dion Cools, Irfan Zakaria, Syahmi Safari, Nazmi Faiz Mansor, Akhyar Rashid, Syafiq Ahmad, Luqman Hakim Shamsudin dan De Paula.

Ketiadaan baki 14 pemain lain yang tidak dipanggil kali ini diisi oleh 6 muka baharu iaitu penjaga gol PJ City FC, Kalamullah Al-Hafiz Mat Rowi; dua pemain Penang FC, Quentin Cheng dan Al Hafiz Harun; dua pemain Selangor FC, Sharul Nazeem Zulpakar dan Mukhairi Ajmal Mahadi serta pemain Terengganu FC, Hakimi Abdullah.

Turut kembali tersenarai, enam pemain yang pernah dipanggil sebelum ini iaitu penjaga gol Melaka United FC, Khairul Fahmi Che Mat; kapten Kedah Darul Aman FC, Baddrol Bakhtiar; dua pemain Terengganu FC, Arif Fadzilah Abu Bakar dan Faisal Halim serta dua pemain Kuala Lumpur City FC, Akram Mahinan dan Kenny Pallraj.

Skuad Harimau Malaya akan melapor diri di Kuala Lumpur pada 1 Oktober 2021 sebelum berlepas ke Amman pada 2 Oktober 2021 bagi menghadapi dua Perlawanan Antarabangsa Tier 1 bertemu Jordan dan Uzbekistan ini yang berlangsung dalam tempoh jendela perlawanan antarabangsa FIFA (4 hingga 12 Oktober 2021) dan dijadual pulang ke tanah air pada 10 Oktober 2021.

Ini juga sebagai persiapan awal bagi membentuk skuad terbaik Harimau Malaya menjelang Piala Suzuki AFF 2020 dari 5 Disember 2021 hingga 1 Januari 2022 dan seterusnya Pusingan 3, Kelayakan Piala Asia 2023 pada tahun hadapan.