Liga Super Malaysia Berita

Kedah FA masih belum selesai bayar cukai RM10.4 juta sejak 2015

Presiden Kedah FA, Muhammad Sanusi Md Nor mengesahkan bahawa persatuan yang diterajuinya masih belum menyelesaikan tunggakan cukai pendapatan berjumlah RM10.4 juta dengan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) melibatkan beberapa pemainnya dan jurulatih sejak musim 2015.

Beliau berkata, berdasarkan tuntutan LHDN, ia melibatkan cukai pendapatan bekas pemain Kedah iaitu Sandro Da Silva sebanyak RM2.3 juta dan Liridon Krasniqi sebanyak RM1.78 juta.

Tambahnya, pengurusan terdahulu didapati memotong gaji pemain dan jurulatih untuk membayar cukai pendapatan, namun tidak membuat pembayaran itu kepada LHDN.

“Selain Sandro dan Liridon, tunggakan cukai tertinggi turut melibatkan Bang Seung Hwan sebanyak RM935,000, Ken Ilso Larson (RM470,000), Chidi Edeh (RM434,000) dan Carlos Kahe (RM346,000),” katanya seperti dilaporkan Berita Harian.

“Tuntutan tunggakan cukai itu juga melibatkan barisan kejurulatihan import antaranya Ian Gillan dan Stefano Impagliazzo.”

Justeru, Sanusi berkata, pihaknya akan berbincang dengan LHDN untuk menyelesaikan tunggakan itu.

“Sepatutnya kalau ada tunggakan pada 2018 atau 2017, tuntutlah pada tahun itu juga tetapi mereka kata pada masa itu pengurusan lama tidak memberi kerjasama.

“Sekarang apabila pengurusan baharu beri kerjasama, mereka datang longgok semua atas ‘kepala’ kita. Kalau macam itu, teruklah kita kerana Keda FA bukan buat untung, sebaliknya memajukan sukan melalui tanggungjawab sosial korporat (CSR) dan penaja.”

Pada masa sama, Sanusi berharap perkara ini akan mendapat pertimbangan sewajarnya daripada LHDN supaya tidak memberi kesan kepada persiapan pasukan pada musim hadapan.

“Tunggakan ini berlaku pada masa lalu, tak bolehlah kutip sekarang. Justeru saya berunding dengan LHDN untuk memohon hapus kira di atas kegagalan mereka membuat kutipan pada masa lalu.

“Kita kena susun dan dapatkan surat pelepasan LHDN, kalau tak dapat pelepasan, kita tak boleh main kerana tak dapat lesen pada musim depan. Dosanya pada masa lalu, dan kerja saya pula menyucikan dosa lama.”