Liga Premier Malaysia Berita

Negeri Sembilan juara Liga Premier 2021

Negeri Sembilan muncul juara Liga Premier bagi musim 2021 selepas menewaskan PDRM FC 4-2 pada aksi terakhir liga di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, malam ini.

Mereka turut membawa pulang hadiah kemenangan bernilai RM300,000.

Kemenangan itu sekaligus menamatkan penantian 10 tahun tanpa sebarang piala, selepas kali terakhir menjulang piala adalah pada 2011 apabila memenangi Piala Malaysia dengan menewaskan Terengganu di pentas final.

Negeri Sembilan mendahului menerusi Barathkumar Ramaloo di minit ke-25 hasil hantaran rakan sepasukan dan berjaya menewaskan penjaga gol Muhamad Hamka Daud.

Tuan rumah menggandakan kedudukan hasil jaringan sendiri Muhammad Eskandar Ismail di minit ke-38.

Negeri Sembilan semakin selesa apabila jaringan Alian Thierry Akono Akono di minit ke-60 menjadikan kedudukan 3-0.

PDRM FC bagaimanapun bangkit dengan dua gol dalam tempoh 10 minit hasil jaringan oleh G. Durrkeswaran pada minit ke-63 dan Muhammad Azrie Reza Zamri di minit ke-71.

Namun, Negeri Sembilan kembali selesa apabila jaringan pemain gantian Mohammad Fahmi Faizal di minit ke-75 memastikan kemenangan milik pasukannya, dengan kedudukan 4-2 kekal hingga tamat perlawanan.

Sarawak United menamatkan musim di tangga kedua apabila mencatatkan keputusan seri 1-1 menentang JDTII di Larkin.

Pasukan dari Borneo itu mendahului menerusi jaringan Uche Agba seawal minit ke-3, namun dikejutkan dengan jaringan Stuart Wilkin yang menyamakan kedudukan, enam minit sebelum perlawanan berakhir.

Terengganu II pula menamatkan musim di tangga ke-3 liga selepas kalah tipis 1-0 kepada Kelantan United hasil jaringan tunggal Hakim Ismail pada minit ke-19.