Liga Premier Malaysia Berita

Tidak puas hati dengan MFL, Negeri Sembilan buat rayuan kedua

CEO Negeri Sembilan FC, Satwant Singh mengesahkan bahawa mereka akan mengemukakan rayuan kedua selepas keputusan MFL tidak menyebelahi pasukan itu.

Ini selepas Kelantan membuat lima pertukaran pemain sebanyak empat kali, walaupun menurut peraturan FIFA, pasukan hanya diberikan tiga peluang sahaja untuk membuat lima pertukaran pemain dalam satu perlawanan, yang dikuatkuasakan sejak Mei tahun lalu.

Bagaimanapun, Ahli Lembaga Pengarah MFL mengekalkan keputusan kemenangan 2-1 Kelantan ke atas Negeri Sembilan dan hanya mendenda Kelantan sebanyak RM30,000.

Disebabkan itu, Satwant berkata, mereka mahu membentangkan isu tersebut kepada lembaga MFL untuk pertimbangan yang sewajarnya.

“Kami hanya mahukan keadilan,” kata Satwant kepada NST.

“Kami berharap MFL akan meneliti rayuan kedua kami. Kami berharap akan dapat keputusan positif.”

Walaupun telah layak ke Liga Super musim depan, keputusan itu menyebabkan Negeri Sembilan gagal memintas pendahulu Liga Premier, Sarawak United yang tewas 1-0 kepada Kuching City.