Futsal Berita

FAM batalkan Liga Futsal musim 2021

FAM membuat keputusan untuk membatalkan pertandingan CUCKOO Malaysia Premier Futsal League (MPFL) bagi musim 2021.

Pengumuman itu dibuat sehari selepas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan kebenaran aktiviti sukan indoor bermula 10 Sept ini.

Setiausaha Agung FAM, Mohd Saifuddin Abu Bakar berkata, keputusan itu dibuat selepas mengambil kira situasi semasa berkaitan pandemik COVID-19, hal-hal pengoperasian serta keselamatan kesemua pemain, pegawai, petugas perlawanan dan individu yang terlibat sama ada secara langsung atau tidak langsung dengan penganjuran pertandingan.

Katanya, keputusan ini juga diambil selaras dengan status penganjuran pertandingan tersebut yang sehingga kini masih belum mendapat kebenaran rasmi daripada Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

“FAM turut berasakan bahawa keputusan ini adalah yang terbaik pada ketika ini dan pada masa yang sama memberi lebih ruang kepada setiap pasukan untuk membuat perancangan menghadapi pertandingan ini bagi musim depan.

“FAM ingin mengambil kesempatan ini untuk memohon kerjasama semua pihak dalam pelaksanaan keputusan dan ketetapan seperti di atas dan mengucapkan ribuan terima kasih kepada kesemua pasukan yang telah memberikan komitmen yang tinggi dalam usaha dan perancangan FAM sebelum ini.”

Ini kali kedua Liga Futsal dibatalkan, selepas musim 2020 dibatalkan tahun lalu.