Liga Super Malaysia Berita

Faizal Azumu: Saya mohon maaf keluarkan kenyataan kurang cerdik

Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu tampil memohon maaf berhubung kenyataan kontroversinya semalam.

Beliau yang memulakan tugasnya secara rasmi selepas mengangkat sumpah, turut memohon maaf kepada Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin dan Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam.

“Ia merupakan satu kekhilafan atau sesuatu yang kurang cerdiknya saya mengeluarkan kenyataan itu,” kata Faizal pada sidang media semalam.

“Jadi saya nak mohon maaf kepada seluruh rakyat Malaysia juga di atas kesilapan itu. Alhamdulillah saya belajar daripada kesilapan itu, yang dilakukan sebelum saya masuk pejabat.

“Hari ini hadir sebagai menteri, saya perlu tahu apa yang patut dan tak patut katakan.

“Insya-Allah lepas ini, saya berjanji dengan semua rakyat Malaysia dan peminat sukan, akan bekerja kuat dengan Timbalan Menteri, Datuk Seri Ti Lian Ker dan rakan-rakan di kementerian untuk meningkatkan mutu sukan, bukannya berpolitik dan bercakap perkara yang tak mendatangkan faedah.”

Kelmarin, Faizal mengeluarkan kenyataan kontroversi menerusi satu video tular apabila mahu menyelamatkan pasukan Perak daripada tersingkir ke Liga Premier musim depan dengan menambah bilangan pasukan kepada 16 kelab dalam Liga Super.

Bagaimanapun, Stuart menafikan FAM perkara tersebut manakala Presiden MFL, Datuk Ab Ghani Hassan berkata format Liga Malaysia kekal untuk musim depan.