Malaysia Berita

AFL enggan Liga M3 terkubur lagi musim ini

Pengerusi AFL, Datuk Mohd Yusoff Mahadi tidak rela melihat Liga M3 terkubur lagi musim ini.

Ini selepas liga amatur itu ditunda sebanyak dua kali musim ini.

Yusoff bagaimanapun masih berharap saingan Liga M3 dapat dijalankan selewat-lewatnya pada Oktober.

“Ini untuk memastikan proses penyingkiran dan promosi pasukan antara Liga Premier dan Liga M3 tidak terganggu, buat tahun kedua berturut-turut,” katanya kepada Bernama.

“Keduanya untuk memastikan kelangsungan itu ada, kalau kita dapat jalankan saingan musim ini untuk tahun depan, kita ada gambaran yang lebih jelas.”

“Kita juga perlu penaja untuk bersama-sama menjayakan liga ini, jika musim ini tidak dapat dilangsungkan, ia mungkin memberi maksud tidak baik sekali gus menyukarkan kita untuk dapatkan penaja, pada masa hadapan.”

Sebanyak 20 pasukan antaranya Armed Forces FC, Real Chukai FC, Kuala Lumpur Rovers FC, Langkawi City FC, Kuala Kangsar FC, Kinabalu Jaguar FC dan Imigresen FC, sah mengambil bahagian dalam saingan Liga M3 musim ini, yang dibahagikan kepada dua kumpulan iaitu A dan B.

Sementara itu, Mohd Yusoff berkata AFL sudah menyediakan prosedur operasi standard (SOP) tertentu yang diperlukan, selain mempunyai beberapa perancangan dan pilihan termasuk akan mengubah format liga sekiranya perlu.

“Liga M3 ini dimainkan di padang terbuka, jadi untuk dapatkan kelulusan mungkin ada beberapa perkara yang perlu diteliti. Walaupun kita (AFL) masih bercadang untuk meneruskan tetapi ia bergantung kepada keputusan kerajaan.”

Februari lepas, AFL mengesahkan saingan Liga M3 yang pada asalnya dijadual bermula pada Mac, dipinda ke Jun susulan situasi semasa pandemik COVID-19, sebelum sekali lagi terpaksa ditunda disebabkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.

Saingan Liga M3 musim lepas turut berdepan nasib sama, apabila dibatalkan demi menjaga kesihatan dan keselamatan masyarakat, susulan penularan pandemik Covid-19.