Eropah Berita

Real Madrid kemuka tawaran rasmi €170 juta, Mbappe mahu tinggalkan PSG

Kylian Mbappe bakal meninggalkan Paris Saint-Germain tidak lama lagi, setelah Real Madrid mengemukakan tawaran rasmi setinggi €170 juta.

Penyerang berusia 22 tahun itu juga telah menyatakan hasratnya sejak awal lagi bahawa beliau mahu berhijrah ke Real Madrid, sama ada tahun ini atau tahun hadapan, memandangkan beliau enggan menandatangani kontrak baharu dengan PSG.

Ini meskipun pasukannya baru diperkuatkan dengan kehadiran bintang bola sepak dunia, Lionel Messi.

PSG pada mulanya enggan melayan sebarang tawaran untuk Mbappe, terutamanya presidennya sendiri, Nasser Al Khelaifi yang kerap menegaskan bahawa beliau tidak akan melepaskan penyerang Perancis itu.

Namun, pendirian itu mungkin berubah setelah Mbappe memberitahu hasratnya untuk menyertai Real Madrid.

Setelah tawaran rasmi dikemukakan, Real Madrid dan PSG dijangka memulakan rundingan pada hari ini.

Ini akan menjadi perpindahan kedua buat Mbappe setelah berhijrah dari Monaco pada 2017.