Presiden Barcelona, Joan Laporta memberikan perincian kepada masalah kewangan yang memaksanya untuk melepaskan Lionel Messi.
Beliau berkata, Barcelona mempunyai hutang sebanyak 1.35 bilion euro dan menanggung bayaran gaji sebanyak 617 juta euro, iaitu 25 hingga 30 peratus lebih tinggi daripada pesaing mereka.
“Keadaan ekonomi dan kewangan kelab membimbangkan, dan keadaan kewangan sangat dramatik,” kata Laporta pada sidang media selama dua jam di Camp Nou.
“Jika kami semua mengikat perut, dalam beberapa tahun kewangan kelab akan sihat semula.”
Ketika ditanya mengenai Messi, Laporta berkata pihaknya berusaha bersungguh-sungguh untuk memeterai perjanjian namun langsung tidak membuahkan hasil.
Beliau mengakui bahawa ketika Messi diperkenalkan sebagai pemain Paris Saint-Germain minggu lalu memberikannya perasaan bercampur-baur.
“Saya lebih suka melihat beliau di Barca, walaupun kami telah membuat keputusan yang tepat,” kata Laporta.
“Saya berharap yang terbaik untuknya, saya ingin melihat beliau bahagia, beliau layak berada di sana. Mulai sekarang kita akan menjadi lawan.”
Laporta bagaimanapun sedikit gembira apabila Barcelona membuka musim baharu La Liga dengan kemenangan 4-2 ke atas Real Sociedad.
“Itu adalah reaksi Barca,” kata Laporta. “Semua pemain lebih bermotivasi daripada sebelum ini.
“Ia menunjukkan bahawa peminat Barcelona dahagakan bola sepak dan melihat pasukan yang berjuang dan bermain dengan baik.”
Dalam pada itu, Laporta berkata dengan masalah kewangan yang dihadapinya, Barcelona akan kembali mengutamakan pengambilan pemain dari akademi Barcelona iaitu La Masia.
“Era baru bermula. Prospek jangka pendek sangat rumit, tetapi dalam jangka tengah ia akan jadi luar biasa,” kata Laporta.
“Barcelona merancang untuk kembali mengetengahkan pemain muda seperti yang mereka lakukan dengan Messi, yang melalui sistem yang dikenali sebagai ‘La Masia’.
“Kami akan bergantung kepada La Masia, yang akan memungkinkan kami membangunkan model yang kami inginkan.”