Liga Super Malaysia Berita

Sikh Izhan Nazrel bakal ke Sepanyol, jalani sesi percubaan bersama CF Fuenlabrada

Penjaga gol Selangor, Sikh Izhan Nazrel Sikh Azman mengesahkan bahawa beliau menerima tawaran untuk menjalani sesi percubaan dengan kelab divisyen kedua La Liga Segunda, CF Fuenlabrada.

Pemain berusia 19 tahun itu baru sahaja membuat penampilan pertama dalam saingan Liga Super bersama Selangor ketika menewaskan Kedah 4-2 di Stadium Darul Aman baru-baru ini.

“Memang betul, sekarang ini tengah tunggu maklumat dari pengurusan Selangor dan agensi untuk bagi kata putus,” kata Sikh Izhan ketika ditemubual Astro Radio News.

“Mungkin pergi bulan ini, tapi kemungkinan juga boleh tunda disebabkan liga tempatan masih berlangsung jadi sekarang ini saya nak fokus kepada perlawanan, bagi setel semua lepas itu baru saya fikir nak pergi ke sana.

“Saya pun eager nak pergi ke sana, kalau rezeki belum datang saya kena sabarlah. Apa pun kena tunggu Selangor dan agensi untuk kata putus.”

Pada masa sama, Sikh Izhan yang berasal dari Seberang Jaya, Pulau Pinang berkata beliau juga mempunyai peluang untuk mendapat tawaran kontrak jika mempamerkan aksi cemerlang.

“Saya pergi trial dulu, kalau kata pergi sana perform well insya-Allah kemungkinan besar dapat kontrak.

“Jadi bergantung kepada prestasi kat sana, kalau ada rezeki mungkin pergi secara pinjaman atau kontrak. Kalau jadi pergi mungkin boleh tandatangan kontrak terus.

“Tapi sekarang ini liga tengah berlangsung jadi kemungkinan besar pergi bulan November.

“Liga tengah berlangsung jadi pihak pengurusan minta saya fokus kepada liga, jadi saya ikut sahaja apa yang ditetapkan oleh Selangor. Rezeki ada dekat mana-mana, jadi tak apa, saya sabarlah, masa hadapan akan lebih bagus.”

Dalam pada itu, Sikh Izhan berkata pengurusan Selangor terbuka untuk membenarkan beliau menjalani sesi percubaan di luar negara.

“Selangor tak ada masalah, memang mereka nak terapkan pemain muda main luar negara, tapi buat masa sekarang saya nak fokus liga bagi habis dulu sebelum pergi trial.

“Mungkin satu benda bagus boleh improve sebelum pergi trial.”

Beliau juga tidak terlalu bimbang dengan kemungkinan terpaksa berjauhan dengan keluarga.

“Saya dah travel ulang-alik dari Pulau Pinang ke Kuala Lumpur setiap minggu untuk berlatih sebelum ini, jadi mak ayah tahu saya dah boleh buat keputusan sendiri, jadi tak ada masalah cuma mak ayah selalu menyokong apa yang saya buat untuk keluarga dan semua yang menyokong saya dari dulu sampai sekarang.”

Sikh Izhan turut mengakui beliau sudah bersedia untuk beraksi di luar negara.

“100 peratus bersedia kalau diberi ruang dan kepercayaan kat sana, saya akan bagi apa yang saya boleh buat.

“Jadi sekarang kena keep improve apa yang kekurangan pada diri saya. Bila dah pergi sana nanti saya dah boleh hadap semua. Soal kesejukan dan bahasa itu saya kena fokus saya punya teknik asas untuk prepare lebih bagus masa trial nanti.”

Justeru, beliau berharap sesi percubaan itu nanti akan membuahkan hasil dan berharap tuah memihak kepadanya.

“Saya harap sesuatu yang saya pergi ini memberi hasil.

“Sebab kalau pergi duduk sahaja tak main dia rasa macam sama sahaja duduk kat Malaysia.

“Jadi saya nak pergi ini, saya nak tunjuk kebolehan dari negara Asia. Saya nak tunjukkan kebolehan yang negara Asia ini boleh bermain bukan sekadar dengar sahaja.

“Insya-Allah saya akan buat yang terbaik, mak ayah sokong 100 peratus jadi kita tak nak kecewakan ibu bapa saya.

“Ini satu-satu peluang dalam karier saya, ramai yang nak tapi tak semua dapat apa yang kita harapkan. Inilah peluang terbaik untuk kita tunjuk sesuatu.”

Sikh Izhan sertai Selangor pada Januari 2019. Beliau membuat 4 penampilan bersama Selangor 2 pada musim lepas dan membuat 12 penampilan musim ini dengan mencatatkan 6 perlawanan tanpa bolos.

Beliau merupakan penjaga gol utama skuad B-16 kebangsaan yang memenangi Piala Iber 2015 di Sepanyol dan Piala SuperMokh 2016.

Sikh Izhan juga sebahagian daripada generasi pertama skuad Program Pembangunan Bola Sepak Kebangsaan (NFDP), malah pernah dicalonkan sebagai Penjaga Gol Terbaik Kejohanan dalam Piala Elite 2016 di Perancis.