Berita AFC Champions League

ACL2021: JDT gagal raih kemenangan dalam perlawanan terakhir

Johor Darul Ta’zim (JDT) melabuhkan tirai kempen Liga Juara-Juara Asia musim 2021 dengan keputusan seri tanpa jaringan menentang Ratchaburi pada aksi terakhir Kumpulan G di Stadium Nasional Rajamangala di Bangkok, malam tadi.

Satu mata dikutip menyaksikan skuad Harimau Selatan menamatkan saingan kumpulan di kedudukan ketiga dengan mengumpul empat mata sekali gus gagal memperbaiki pencapaian pada kempen 2019 apabila turut hanya meraih empat mata daripada keseluruhan enam perlawanan.

Turun dengan misi mencatat kemenangan kedua selepas mengatasi Ratchaburi 1-0 pada pusingan pertama aksi kumpulan, JDT sebaliknya dihimpit kegagalan menyudahkan peluang terhidang sepanjang 90 minit perlawanan untuk mengutip tiga mata penuh.

Memulakan aksi dengan persembahan positif, skuad bimbingan Benjamin Mora memiliki peluang keemasan untuk mendahului seawal minit ketujuh menerusi gerakan serangan balas pantas, namun rembatan pemain tengah Safiq Rahim yang tidak dikawal dalam kawasan kotak penalti tersasar.

Ratchaburi yang memburu kemenangan sulung dalam saingan kumpulan sesekali berjaya menembusi benteng pertahanan JDT yang memaksa penjaga gol, Farizal Marlias bertindak cemerlang di gawang menyelamatkan dua percubaan berbahaya Steeven Langil pada minit ke-33 dan 49’.

Tandukan pemain import JDT, Bergson yang menerima hantaran rakan sepasukan Arif Aiman hampir memecah kebuntuan pada minit ke-54 tetapi penjaga gol Nukoolot Krutyai lebih bersedia membaca pergerakan bola untuk mempertahankan kedudukan.

Menghampiri masa penuh perlawanan, kedua-dua pasukan sekali lagi mensia-siakan peluang meledak jaringan pada masa kecederaan babak kedua selepas tandukan pemain gantian Apiwat Pengprakon hanya sedikit melewati palang gol sementara rembatan Akhyar Rashid tepat ke penjaga gol.

Keputusan malam tadi menyaksikan JDT hanya mencatatkan satu kemenangan, satu seri serta tewas empat kali dengan dua kekalahan kepada Nagoya Grampus dan dua lagi kepada Pohang Steelers.

Sementara itu, Nagoya Grampus mengesahkan slot ke pusingan kalah mati apabila mengungguli saingan Kumpulan G dengan rekod tanpa kalah selepas terikat 1-1 menentang Pohang Steelers.