Euro 2020 Berita

England mara ke final Euro 2020, It’s coming home semakin menjadi kenyataan

England akhirnya melangkah ke final Euro 2020 buat kali pertama dalam sejarah selepas menewaskan Denmark 2-1 di Wembley awal pagi tadi.

England bagaimanapun ketinggalan pada minit ke-30 apabila sepakan percuma Mikkel Damsgaard berjaya menewaskan penjaga gol, Jordan Pickford.

Namun, 10 minit kemudian England menyamakan apabila hantaran Bukayo Saka yang sepatutnya menghala ke arah Raheem Sterling dihalang oleh kapten Denmark, Simon Kjaer terlebih dahulu tetapi bola itu yang terkena kakinya tidak keluar dari gawang gol, sebaliknya masuk terus ke dalam gawang gol.

England dan Denmark bagaimanapun tidak dapat menjaringkan sebarang gol sepanjang separuh masa kedua, mengheret perlawanan ke masa tambahan.

Namun, England tidak mengambil masa terlalu lama apabila dihadiahkan sepakan penalti selepas Raheem Sterling dijatuhkan dalam kotak penalti pada minit ke-100.

Harry Kane yang merembat bola ke sebelah kanan gawang gol berjaya dihalang oleh penjaga gol Denmark, Kasper Schmeichel namun bola itu ditepis betul-betul ke arah Kane semula yang sekaligus tidak melepaskan peluang itu apabila merembat bola ke sebelah kiri gawang gol yang kosong, lalu meraikan gol itu bersama rakan-rakan pasukannya yang turut dimeriahkan dengan sorakan peminat England.

Bagi England, ia mempunyai persamaan dengan separuh akhir di Euro 1996, apabila berdepan Jerman ketika itu. Perlawanan itu juga diadakan di Stadium Wembley yang penuh sesak tetapi keputusan ketika itu berakhir dalam keadaan yang sangat berbeza.

Gareth Southgate adalah pemain England yang gagal menyempurnakan sepakan penalti ketika itu, tetapi 25 tahun kemudian, jurulatih berusia 50 tahun itu berjaya membimbing negaranya ke final Euro buat pertama kali dalam sejarah.

“Saya sangat bangga dengan para pemain,” kata Southgate kepada laman web UEFA.

“Ini adalah pengalaman yang luar biasa. Para peminat juga luar biasa sepanjang malam ini.”

England kini akan menentang Itali di final selepas Azzurri mengalahkan Sepanyol menerusi sepakan penalti.

Walaupun pasukan Itali tampak tidak konsisten sepanjang Euro 2020, England berharap sokongan tuan rumah di Wembley dapat memberi inspirasi kepada satu lagi kemenangan bersejarah.

“Perlawanan yang hebat, tetapi pujian juga diberikan kepada Denmark,” kata Harry Kane.

“Kami menyerang dan menyerang akhirnya kami capai apa yang kami mahukan. Kami bertindak balas dengan sangat baik. Kini kami di final di negara sendiri, perasaan yang tidak terkata.”

Bagaimanapun, Kane sedar bukan mudah untuk mencatatkan kemenangan ke atas Itali.

“Kami tahu ia akan menjadi perlawanan yang sangat sukar melawan Itali. Kami beraksi dengan cemerlang setakat ini. Satu perlawanan lagi dan kami sudah tidak sabar.”