Malaysia Berita

TMJ: Izinkan saya jaga skuad Harimau Malaya

Pemilik kelab bola sepak Johor Darul Ta’zim (JDT) Tunku Ismail Sultan Ibrahim menyatakan hasrat untuk mengendalikan skuad Harimau Malaya.

Ini selepas skuad kebangsaan dikritik hebat berikutan prestasi hambar dalam kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 yang menyaksikan Malaysia tewas kepada UAE dan Vietnam.

“Kepada Presiden FAM, izinkan saya memikul tanggungjawab dalam skuad kebangsaan,” kata TMJ menerusi akaun Instagram miliknya.

“Saya tidak menjanjikan kejayaan segera. Tetapi saya boleh menjamin peningkatan.

“Sasaran realistik, selangkah demi selangkah. Setiap langkah positif adalah bonus. Jika hasilnya tidak bagus, kita akan bekerja keras.”

TMJ juga mahu status naturalisasi kepada mana-mana pemain asing dengan sewenang-wenangnya pada masa hadapan.

“Ia akan dikawal dan dianalisis oleh pasukan teknikal skuad kebangsaan, sama ada pemain itu sesuai dengan gaya permainan skuad negara.”

TMJ juga mempersoalkan mengapa pemain boleh beraksi dengan baik bersama kelab masing-masing tetapi gagal untuk menonjol dengan pasukan kebangsaan.

Katanya, walaupun menjulang 17 trofi kemenangan, pemain JDT di bawah pimpinannya, bermain pada setiap permainan seolah-olah tidak memenangi apa-apa, dengan intensiti, disiplin dan fokus.

“Anda ingin tahu apa perkara pertama yang saya lakukan dalam JDT? Saya kawal akses pasukan daripada media, wartawan, syarikat malah penggunaan media sosial pemain.

“Keeksklusifan secara total yang membolehkan pemain lebih fokus pada tugas mereka.”