Malaysia Berita

Syahmi Safari akui berlatih di posisi kiri, bakal ganti Corbin Ong

Syahmi Safari dijangka turun beraksi menentang Thailand dengan mengisi kekosongan yang ditinggalkan oleh La’vere Corbin Ong yang terpaksa menjalani hukuman penggantungan.

Pemain berusia 23 tahun itu mengakui beliau hanya pernah beraksi di posisi kanan sepanjang beraksi dengan Selangor dan skuad kebangsaan namun sedia mencabar dirinya di posisi baharu.

“Kalau ikutkan persembahan saya dengan Selangor sebelum ini tidak begitu baik,” katanya kepada Berita Harian.

“Namun jika diberi peluang mungkin ini menjadi platform untuk saya bangkit balik dan mendapat prestasi yang sebelum ini.

“Rasanya peranan di posisi pertahanan kiri dan kanan sama sahaja, hanya kedudukan berbeza.

“Jadi, kadang-kadang dalam sesetengah situasi kita akan rasa sedikit kekok.

“Tapi kebelakangan ini saya banyak menjalani latihan di bahagian bek kiri.

“Jadi kalau diberi peluang ia tidak menjadi masalah dan di tahap antarabangsa pun kita lihat banyak pemain yang bermain bukan di posisi asal mereka.”

Di sebalik prestasi hambar pasukan negara, Syahmi memberi jaminan bahawa pasukannya akan beraksi lebih baik ketika menentang Thailand malam ini.

“Semua pemain bersedia dan bagi diri saya sendiri pun, jika dapat peluang akan berikan yang terbaik.

“Tak menjanjikan perubahan, tapi Insya-Allah akan cuba dapatkan keputusan yang positif.

“Semua tahu kita mengalami beberapa kekalahan sebelum ini dan untuk bangkit balik kita perlukan sesuatu yang positif. Sesiapa pun yang bermain akan bagi yang terbaik untuk dapatkan kemenangan.

“Pertemuan dengan Thailand ini, kita ada maruah kita sendiri. Walaupun sebelum ini kita menang dengan Thailand, tapi itu dua tahun lalu.”