Liga Super Malaysia Berita

Dion Cools mahu wakili Malaysia, setelah dipujuk TMJ

Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam mengakui proses penukaran status pasukan negara Dion Cools dari Belgium ke Malaysia sebenarnya sudah berjalan lama.

Katanya, Cools sendiri telah menyatakan bahawa beliau berminat dan bersetuju untuk memilih Malaysia sebagai negara yang ingin diwakilinya di peringkat senior ini.

Biarpun telah mewakili Belgium bagi skuad B-18, B-19 dan B-21 negara berkenaan, Cools masih layak untuk menyarung jersi Harimau Malaya dengan perlunya untuk mendapatkan kelulusan Jawatankuasa Status Pemain FIFA.

“Dengan syarat beliau tidak pernah beraksi bersama skuad senior kebangsaan Belgium. Syarat lain juga telah dipenuhi apabila beliau lahir di Malaysia dan ibunya juga merupakan warganegara Malaysia.”

Jelas Stuart, FAM telah beberapa kali menghantar surat secara rasmi kepada Persatuan Bolasepak Belgium (RBFA).

“Setelah FAM menerima bantuan FIFA, RBFA telah pun membalas permintaan FAM dengan memberikan perincian berkenaan penglibatan Dion Cools dalam skuad B-18 dan B-19 Belgium dari 2014 hingga 2015 dan skuad B-21 Belgium dari 2016 hingga 2019 bersama senarai perlawanan.

“Ia juga bagi mengesahkan bahawa Cools tidak pernah beraksi dalam mana-mana perlawanan rasmi bersama skuad senior kebangsaan Belgium.

FAM kemudiannya telah membuat permohonan kepada Jawatankuasa Status Pemain FIFA dengan melampirkan dokumen-dokumen berkaitan pemain bersama surat perincian yang diterima daripada RBFA.

“Setelah membuat penelitian terhadap asas-asas yang diguna pakai dan dokumen-dokumen berkaitan, Jawatankuasa Status Pemain FIFA akhirnya telah membuat keputusan untuk meluluskan permohonan tersebut.

Selepas mendapat kelulusan FIFA, FAM dengan segera mendaftarkan nama Cools dalam senarai awal pendaftaran pemain bagi Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 dan selepas ia diluluskan FIFA dan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC), barulah FAM boleh mengumumkan secara rasmi Cools sebagai pemain Harimau Malaya.

Stuart juga sempat memuji Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang membantu memujuk Cools mewakili Malaysia.

“Junjung kasih juga kepada Tunku kerana baginda telah memainkan peranan cukup penting dalam meyakinkan Dion Cools untuk memilih Malaysia sebagai pasukan negara yang ingin diwakilinya di peringkat senior.”