Liga Super Malaysia Berita

Nazirul Naim tinggalkan Perak

Nazirul Naim Che Hashim telah membuat keputusan untuk meninggalkan Perak pada jendela perpindahan kedua Liga Super musim ini.

Pemain pertahanan kiri itu mengakui telah memohon pelepasan daripada pihak pengurusan baru-baru ini.

“Kalau diikutkan ini, bukan tindakan yang saya ingin buat sebenarnya,” katanya kepada Bernama.

“Tetapi selepas meneliti pelbagai perkara serta berbincang dengan keluarga dan rakan terdekat, ia perlu dilakukan.

“Mengenai pasukan mana yang akan saya main, itu biarlah pasukan tersebut yang umumkan. Saya tidak mahu mendahului mereka.”

Nazirul menjadi pemain terbaru yang meninggalkan Perak selepas Shahrul Saad dan Guilherme De Paula berhijrah ke Johor Darul Ta’zim (JDT), manakala Kenny Pallraj dan J. Parthiban menyertai Kuala Lumpur City.

Bagaimanapun, pemain berusia 28 tahun itu menegaskan beliau membuat keputusan itu bukan kerana isu tunggakan gaji sebaliknya memikirkan tentang masa depan serta kekurangan mendapat minit permainan.

“Musim ini pun tidak banyak saya beraksi untuk 90 minit penuh.

“Jadi bila ada pasukan yang boleh tawarkan perkara itu, saya fikir mereka nampak kemampuan saya. Ini juga antara cara untuk saya tingkatkan mutu permainan.”

Beliau juga mengakui sukar untuk terus berada dalam pasukan yang telah kehilangan beberapa tonggak utama.

“Secara realiti, apa yang ada ini belum cukup. Bukan kata pemain muda tiada potensi tetapi aksi Liga Super tidak sama macam Liga Premier.

“Ditambah dengan kekurangan pengalaman, saya fikir bukan mudah kita nak bereksperimen dalam baki perlawanan yang tinggal.”

Namun, Nazirul tidak akan melupakan jasa dan sumbangan Perak kepadanya malah terbuka untuk kembali beraksi bersama pasukan itu pada masa akan datang.

“Pintu hati saya tak pernah kata tidak untuk Perak tapi untuk ketika ini, biarlah saya bawa haluan berbeza terlebih dahulu. Mana tahu, ada rezeki nanti saya akan pulang untuk kembali bersama.”