Liga Super Malaysia Berita

Terengganu terima dos vaksin pertama Covid-19

Semua pemain, jurulatih dan pegawai Terengganu telah menerima suntikan dos pertama vaksin COVID-19 sebagai persediaan pasukan menjelang saingan Piala AFC 2021 bulan depan.

Ketua Pegawai Eksekutif Terengganu, Ab Rasid Jusoh berkata seramai 30 pemain dan 19 barisan jurulatih serta pegawai terlibat dalam Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan tersebut yang diadakan semalam di Stadium Tertutup Gong Badak.

“Bagi Terengganu II pula seramai lima pemain telah menerima suntikan vaksin dos pertama semalam. Baki 23 pemain serta 15 pegawai TFC II akan menerima suntikan dalam minggu ini juga,” katanya kepada Bernama.

Ab Rasid berkata suntikan tersebut juga sebagai persiapan pasukan untuk menjalani sesi latihan secara camp based training atau latihan secara berpusat yang bermula hari ini.

Terengganu berada dalam Kumpulan I bersama Geylang International FC (Singapura), Kaya FC-Iloilo (Filipina) dan satu pasukan playoff dijadual menghadapi saingan peringkat kumpuan AFC di Singapura pada 30 Jun ini hingga 6 Julai.