Liga Super Malaysia Berita

Hariss Harun tinggalkan JDT selepas 8 tahun bersama

Hariss Harun membuat keputusan untuk meninggalkan JDT selepas hampir 8 tahun bersama juara bertahan Liga Super itu.

Menurut Johor Southern Tigers, JDT dan Hariss telah bersama-sama bersetuju untuk menamatkan kontrak.

“Ia sebagai menghormati keputusan Hariss untuk kembali ke Singapura atas urusan keluarga disebabkan pandemik Covid-19 yang telah menyukarkan beliau untuk berulang-alik ke Singapura lebih kerap.

“Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) ingin mengucapkan terima kasih kepada kapten Hariss Harun atas kesetiaan yang tidak berbelah bahagi, aksi persembahan penuh semangat dan atas segala jasa yang diberikan kepada kelab sejak debut beliau pada Januari 2014.

“Pintu di JDT sentiasa terbuka untuk apa jua khidmat pada masa akan datang. Selamat maju jaya, Hariss!” katanya.

Hariss menyertai JDT selepas menjulang gelaran Liga Super Malaysia bersama LionsXII dan kemudian memenangi tujuh lagi kejuaraan liga berturut-turut, Piala AFC 2015 bersejarah dan sembilan lagi trofi domestik di Malaysia.

Hariss telah melakukan 197 penampilan, bermain 15,367 minit, menjaringkan 12 gol, melakukan lima bantuan jaringan dan sering kali mempertahankan benteng pertahanan dari bahagian tengah buat JDT.