Liga Super Malaysia Berita

TMJ: Hariss Harun seorang legenda JDT

Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim menzahirkan ucapan terima kasih kepada Hariss Harun di atas khidmatnya bersama JDT sejak 2014.

Ini selepas JDT mengumumkan bahawa Hariss akan meninggalkan pasukannya setelah mencapai persetujuan untuk menamatkan kontrak secara bersama.

“Ketika permulaan projek ini pada 2013, saya tidak tahu banyak perkara tentang bola sepak tempatan.

“Saya mula memahaminya pada 2014 dan sedar bahawa kelab ini tidak mempunyai seorang ‘defensive midfielder’, tulang belakang kepada pasukan dan itu adalah pemain pertama yang saya tandatangani pada 2014.

“Saya bertemu pemuda ini dan memberitahu beliau tentang projek saya, aspirasi, serta apa yang tidak lengkap pada kelab dan bertanya seandainya beliau boleh membantu.”

“Beliau sudah hampir ke Portugal ketika itu tetapi saya yakinkan beliau ke sini untuk memenangi kejuaraan.”

Namun, Hariss akhirnya bersetuju untuk menyertai JDT.

“Beliau bersetuju untuk bersama-sama dengan kami ketika pasukan ini tidak mempunyai apa-apa. Tiada pusat latihan, tiada pengangkutan rasmi, tiada pejabat dan pelbagai lagi. Hari ini, JDT telah menjadi sangat berjaya dan Harris Harun telah menjadi bahagian yang penting dalam kelab ini.

“Hariss, saya secara peribadi dan bagi pihak kelab ingin mengucapkan terima kasih dan selamat maju jaya dalam karier anda.

“Anda sentiasa akan mendapat sokongan saya, sokongan kami dan anda akan sentiasa menjadi sebahagian dari keluarga JDT dan seorang legenda JDT.”