Liga Super Malaysia Berita

MKN yakin dengan SOP Liga Malaysia, peminat semua pasukan dibenarkan hadir ke stadium esok

Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican mengesahkan bahawa penonton mula dibenarkan menyaksikan perlawanan Liga Malaysia di stadium bermula 6 April ini.

Ini selepas beliau turun menonton perlawanan projek perintis kemasukan penonton ke stadium antara Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Melaka United FC di Stadium Sultan Ibrahim, Jumaat lalu.

Katanya, pengawasan serta pematuhan prosedur operasi standard (SOP) di Stadium Sultan Ibrahim, meyakinkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) untuk memberi lampu hijau kepada MFL dalam membenarkan kembali kemasukan penonton.

“Setakat ini apa yang saya boleh katakan tiada halangan bagi kemasukan penonton untuk perlawanan lain, kerana berdasarkan pemerhatian daripada MKN, mereka berpuas hati secara keseluruhan,” katanya.

“Kelulusan saya sebenarnya sudah dapat, tetapi sekiranya ada pemerhatian lain oleh pihak MKN, mungkin keputusan lain akan dibuat tetapi buat masa ini, saya boleh katakan tiada masalah.”

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Datuk Ab Ghani Hassan berharap, pihak pengurusan pasukan bertanding sudah bersedia menerima kemasukan penonton di gelanggang masing-masing.

Ini memandangkan kesemua perlawanan Liga Super dan Liga Premier masih tertakluk kepada kelulusan MFL, di mana setiap pasukan perlu menghantar dokumen kebenaran kemasukan penonton terlebih dahulu.

“Perkembangan positif yang ditunjukkan di sini harap menjadi permulaan untuk diikuti di venue-venue lain pada perlawanan ketujuh Liga Super.

“Melalui pewartaan yang membenarkan penyokong boleh masuk ke stadium mulai 1 April, MFL telah bersedia sepenuhnya dan akan mengadakan mesyuarat dalam masa terdekat bersama semua pasukan, bagi membincangkan perkara ini,” katanya.