Malaysia Berita

Tan Cheng Hoe beri sebab kem latihan pusat Harimau Malaya dipendekkan

Jurulatih negara, Tan Cheng Hoe membuat keputusan untuk memendekkan tempoh kem latihan pusat skuad kebangsaan dari 9 hari ke 7 hari, sekali gus berakhir semalam.

Keputusan itu dibuat selepas beliau mengadakan perbincangan dengan barisan kejurulatihan ketika berada di Johor Bahru.

“Disebabkan jadual perlawanan liga yang seterusnya agak dekat dan mengambil kira tempoh rehat pemain-pemain selepas kem latihan pusat ini, saya memberi ruang kepada pemain dan kelab untuk melakukan persiapan liga dengan lebih awal.”

Bagaimanapun, Cheng Hoe tetap berasa gembira dengan reaksi positif yang ditunjukkan para pemain dalam tempoh seminggu ini selepas setahun lebih tidak berkumpul bersama, serta komitmen tinggi yang ditunjukkan biarpun telah mengharungi jadual padat lima perlawanan Liga Super 2021 dalam tempoh dua minggu sebelum melapor diri.

“Walaupun kem latihan pusat kali ini dipendekkan, ia tetap mencapai objektifnya iaitu saya dapat lihat para pemain masih berjaya mengekalkan corak permainan kita terutama dari segi taktikal yang mana mereka memahami cara pasukan kita bermain. Saya cukup berpuas hati.

“Saya masih dapat lihat banyak perkara positif dalam pasukan terutama pemain-pemain baharu yang cepat menyesuaikan diri serta bekerjasama sebagai satu pasukan. Persefahaman dan suasana sepanjang kem latihan pusat kali ini pun cukup baik.”

Cheng Hoe juga berharap apabila skuad kebangsaan kembali berkumpul semula pada Mei nanti, para pemain berada dalam keadaan yang cukup bersedia dan bebas daripada kecederaan bagi memberi fokus sepenuhnya untuk baki tiga perlawanan Kumpulan G, Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 yang cukup penting menentang UAE, Vietnam dan Thailand pada Jun nanti.

“Diharap juga dengan pelepasan awal ini, para pemain dapat rehat secukupnya dan bersedia untuk kembali menyambung aksi Liga Super 2021 bersama kelab masing-masing bermula Jumaat dan Sabtu ini.

“Bagi pihak FAM dan skuad Harimau Malaya, terima kasih diucapkan kepada Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) atas kesudian berkongsi kemudahan pusat latihan mereka sepanjang tempoh seminggu kami menjalani kem latihan pusat di Johor Bahru ini.”