Liga Super Malaysia Berita

FAM nafi sengaja lengah-lengahkan kes Natxo Insa

Setiausaha Agung FAM, Stuart Rama­lingam menegaskan pihaknya tidak pernah cuba untuk melengah-lengahkan siasatan kes yang melibatkan pemain tengah JDT, Natxo Insa.

Beberapa pemain sudah pun dikenakan tindakan oleh Jawatankuasa Tatatertib FAM baru-baru ini, namun nama Natxo langsung tidak kelihatan, meskipun ramai menunggu tindakan terhadap pemain itu setelah didapati mengasari pengadil ketika JDT menentang Perak pada 21 Mac lalu.

Bagaimanapun, Stuart menjelaskan bahawa jawatankuasa itu mempunyai proses tersendiri sebelum membuat keputusan.

“Jangan salah anggap dengan mengatakan bahawa sengaja melengah-lengahkan atau lambat untuk membuat keputusan dan hukuman terhadap kes Natxo,” katanya kepada Utusan.

Sebaliknya, Stuart berkata kes Natxo masih belum diputuskan kerana ia merupakan perlawanan ke-5 Liga Super.

“Kita tidak boleh masukkan sekali kes Natxo ini untuk dibicarakan pada mesyuarat Jawatankuasa Tatatertib pada Rabu lalu kerana ia perlu mengikut proses dan prosedur yang mana empat kes dibi­carakan itu hanya membabitkan kes pada Hari Perlawanan 1 dan 2.

“Kes-kes ini pun, Jawatankuasa Tatatertib hanya buat keputusan selepas Hari Perlawanan 5 selepas proses tatatertib diselesaikan.

“Jadi untuk kes Natxo yang berlaku pada Hari Perlawanan 5, Jawatankuasa Tatatertib perlukan masa untuk menghantar surat pertuduhan, kemudian memberi peluang dan ruang untuk pemain menjawab pertuduhan atau membela diri dalam tempoh masa tertentu.

“Jika perlu, pemain akan dipanggil untuk memberi hujahnya secara lisan pada hari mesyuarat tersebut. Jawatankuasa Tatatertib juga perlu menghantar notis mesyuarat kepada ahli-ahlinya untuk penetapan tarikh mesyuarat.

“Selain itu, kes membabitkan bukti video ini agak berbeza dengan kes yang pemain atau pegawai itu dilayangkan kad merah. Ia perlu mengambil sedikit masa dan bukan sengaja FAM melengah-lengahkannya.”