Liga Super Malaysia Berita

Subkhiddin: Natxo Insa patut dikenakan kad merah, hukuman berat

Pengadil terkemuka negara, Subkhiddin Mohd Salleh mengakui pemain tengah JDT, Natxo Insa sepatutnya menerima layangan kad merah dan dikenakan hukuman tegas.

Ini selepas beliau didapati menolak pengadil perlawanan, Noor Azriel Baharudin ketika JDT terikat seri 2-2 dengan Perak di Ipoh, kelmarin.

“Kalau pengadil buat silap, mereka terus digantung perlawanan,” katanya kepada Berita Harian.

“Tetapi kalau pemain terpaksa tunggu Jawatankuasa Disiplin buat keputusan dahulu yang mana ia memakan masa. Disebabkan tiada tindakan tegas, keganasan seperti ini terus berlaku.

“Ini bukan untuk Natxo sahaja tetapi kepada mana mana pemain yang bertindak ganas seperti itu, kita ‘reman’ mereka dahulu sebelum dapat keputusan dan selepas itu beri penggantungan mungkin untuk semusim sebagai pengajaran supaya ia tidak berulang.

“Kita lihat pemain sekarang seolah-olah tidak menghormati pengadil. Malah kalau diberikan klip video itu kepada mana-mana pengadil antarabangsa sekalipun, mereka pasti menjawab kad merah perlu dilayangkan.”

Ia merupakan insiden terbaru yang membabitkan keganasan terhadap pengadil selepas penyerang Kelantan, Jack Hindle didapati menolak pengadil perlawanan, Mohd Amirul Aizat Mohd Lodin manakala penyerang Melaka United, Alex dos Santos Goncalves didapati sengaja membaling bola ke arah pengadil, Mohd Fairuzi Mat Desa.

Dua pemain tersebut termasuk pemain tengah PJ City, Ahmad Khairil Anuar Ahmad Zamri dihadapkan ke Jawatankuasa Tatatertib FAM untuk keputusan selanjutnya.