Liga Super Malaysia Berita

Natxo dirujuk Jawatankuasa Tatatertib FAM, seorang lagi pengadil digantung

Pengerusi Jawatankuasa Pengadil Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk S Sivasundram mengesahkan bahawa Natxo Insa akan dirujuk kepada Jawatankuasa Tatatertib berhubung tindakannya ketika JDT menentang Perak pada Ahad lalu.

Beliau berkata, selepas tamat perlawanan, Insa didapati mengasari pengadil, Noor Azriel Baharudin.

“Ini berdasarkan bukti rakaman video dan laporan pengadil ekoran tindakannya yang menyerbu dan menyentuh pengadil selepas tamat perlawanan.”

Bagaimanapun, Siva berkata prestasi pengadil adalah memuaskan sepanjang perlawanan tersebut berlandaskan laporan Penilai Pengadil yang bertugas pada perlawanan tersebut.

“Walaupun memuaskan, namun terdapat beberapa penambahbaikan yang perlu dibuat dan pengadil tersebut akan dirujuk kepada kepada Pengurus Pembangunan Pengadil FAM.”

Namun, pengadil perlawanan antara Sabah dan Terengganu pada Sabtu lalu tidak bernasib baik apabila digantung serta-merta.

“Pengadil terbabit telah didapati menunjukkan prestasi yang kurang memuaskan sepanjang perlawanan berlandaskan laporan Penilai Pengadil yang bertugas pada perlawanan tersebut,” kata Siva.

“Justeru, pengadil terbabit telah dikenakan tindakan penggantungan daripada sebarang tugasan perlawanan selama dua minggu secara serta-merta dan akan dirujuk kepada Pengurus Pembangunan Pengadil FAM untuk mengikuti program penambahbaikan prestasi sebelum kembali bertugas bermula dari liga divisyen bawah dan hanya akan dilantik semula sebagai pengadil perlawanan Liga Super selepas prestasinya dinilai berada pada tahap yang memuaskan.”

Ini merupakan kali ketiga pengadil menjadi tumpuan setelah pengadil perlawanan Liga Super antara PJ City dan Melaka United iaitu Mohd Fairuzi Mat Desa digantung serta-merta, salah satunya disebabkan gagal mengesan tindakan pemain PJ City, Ahmad Khairil Anuar Ahmad Zamri melakukan simulasi sehingga memberikan sepakan penalti.

Malah, pengadil perlawanan Liga Premier antara Kelantan dan Perak FC II iaitu Mohd Amirul Aizat Mohd Lodin turut dinilai semula selepas berada pada kedudukan yang salah dalam kotak penalti sehingga menyebabkan beliau ditolak oleh penyerang Kelantan, Jack Hindle.