Liga Super Malaysia Berita

MFL jangka kerajaan benarkan peminat ke stadium pada bulan depan

CEO MFL, Datuk Ab Ghani Hassan mengesahkan bahawa pihaknya menjangkakan bahawa kerajaan akan membenarkan peminat hadir ke stadium untuk menyaksikan Liga Super bermula pada perlawanan keenam iaitu 2 April depan.

Beliau berkata, kira-kira 15 hingga 20 peratus penyokong akan diberikan kebenaran masuk berdasarkan kapasiti stadium.

Bagaimanapun, segalanya tertakluk kepada perbincangan dan pertemuan MFL dengan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

“Kami dalam perbincangan akhir,” katanya kepada Harian Metro.

“Jika semuanya berjalan lancar tanpa sebarang masalah, pada perlawanan keenam Liga Super dapat menyaksikan kemasukan penyokong ke stadium.

“Pada masa sama, kami tidak meletakkan syarat tertentu kepada penyokong namun kanak-kanak dan warga emas tidak digalakkan ke stadium kerana mereka adalah golongan berisiko.”

Ketika ini, Ghani berkata MFL dalam usaha untuk memperhalusi dan menambah baik standard operasi prosedur (SOP) seperti laluan keluar masuk penyokong serta menentukan kedudukan ketika berada dalam stadium.

Malah, perbincangan bersama pemilik pasukan, KBS dan MKN akan dilakukan lebih kerap supaya semua SOP dipatuhi.

Ini terutamanya selepas sekumpulan penyokong bertindak berkumpul di perkarangan stadium Petaling Jaya, sekali gus khuatir akan menjejaskan status permohonan kemasukan peminat ke stadium.

“Baru-baru ini, terdapat penyokong pasukan tertentu berkumpul di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) dan situasi berkenaan sebenarnya hampir merencatkan permohonan kemasukan penyokong ke stadium.

“Oleh itu, harap penyokong semua pasukan bersabar kerana masanya sudah dekat sahaja untuk mereka melepaskan kerinduan masuk ke stadium memberi sokongan kepada pasukan masing-masing.”