Liga Super Malaysia Berita

Tony Fernandes bakal Presiden MFL baharu?

Tan Sri Tony Fernandes mengesahkan bahawa beliau berminat untuk menerajui badan pengelola Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) jika dicalonkan nanti.

Ini selepas Datuk Hamidin Mohd Amin menyatakan hasratnya untuk melepaskan jawatan sebagai presiden MFL, sebaik sahaja menang tanpa bertanding dan berjaya mempertahankan kedudukannya presiden FAM.

“Sudah tentu saya mahukannya,” kata Tony yang juga pemilik Queen Park Rangers (QPR).

“Saya sayangkan bola sepak, saya sayangkan Malaysia dan saya harap dapat menyumbang sesuatu.”

Hamidin pula menyerahkan kepada Lembaga Pengarah MFL untuk membuat keputusan, malah mengesahkan beliau tidak akan terlibat dalam proses pencalonan presiden baharu.

“Saya rasa Tony seorang individu yang sayangkan bola sepak, mungkin beliau seorang daripada calon, itu saya tidak pasti. Biarlah mereka bincang, calon bukan datang dari saya.”

Tony yang juga Pengerusi Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) menandatangani Lanjutan Perjanjian dengan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) menjadikan Stadium Nasional sebagai gelanggang rasmi skuad Harimau Malaya hingga 31 Dis 2025.