Liga Super Malaysia Berita

Sanusi: Widad belum sedia ambil alih Kedah, mahu jadi penaja utama dulu

Presiden Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) Sanusi Md Nor mendedahkan Widad Business Group (WBG) belum bersedia untuk memiliki sebahagian saham pasukan Kedah walaupun syarikat itu menjadi penaja utama pasukan itu bagi saingan Liga Malaysia musim 2021.

Katanya, Widad memerlukan lebih masa untuk membuat penilaian sebelum memutuskan sama ada mahu membeli saham kelab bola sepak itu.

“Ahli perniagaan ini perlukan persiapan pasukan yang cukup, oleh kerana pasukan dia (WBG) itu tak cukup persiapan, dia minta jadi penaja utama dulu,” katanya kepada Bernama.

Beliau bagaimanapun tidak mendedahkan jumlah tajaan WBG bagi musim ini, namun syarikat itu turut bersetuju menanggung perbelanjaan pasukan Kedah untuk saingan Piala AFC.

Terdahulu, KDA FC melancarkan jersi pasukan yang akan digunakan bagi aksi musim ini selain turut mengumumkan WBG sebagai penaja utama pasukan itu.

Selain WBG, katanya penaja bersama pasukan itu bagi musim ini adalah Menteri Besar Kedah Incorporated (MBI) dan Perbadanan Kemajuan Negeri Kedah (PKNK).

Oleh itu, penjualan saham 80 peratus KDA FC masih dibuka untuk dimiliki oleh mana-mana pihak yang berminat.