Sebuah konsortium yang melibatkan ahli perniagaan dari Malaysia terlibat dalam usaha pembidaan untuk mengambil alih bekas pasukan Liga Perdana Inggeris, Wigan Athletic.
Menurut laporan dari FMT, anggota konsortium itu termasuklah bekas pengerusi Wigan Athletic, bekas pemain Manchester United dan veteran teknikal dan ahli perniagaan.
Sekiranya berjaya, pemilik dari Malaysia itu akan menjadi pemegang saham kedua terbesar di kelab itu dengan memiliki kurang dari 20%.
Keputusan pembidaan kelab itu akan diketahui bulan ini.
Harga yang ditetapkan oleh English Football League, pengendali pertandingan kelab di United Kingdom, adalah £3 juta (RM17 juta), dengan calon pembida juga diminta membuktikan bahawa mereka mempunyai dana simpanan tambahan £4 juta untuk menguruskan kelab.
Menurut FMT lagi, tawaran konsortium itu telah diserahkan kepada EFL bersama bukti bahawa mereka memiliki modal yang diperlukan untuk membiayai kelab itu.
Pada masa sama, mereka juga merancang untuk menggunakan tanah milik Wigan untuk membina akademi bola sepak baharu, dan juga membuka cawangan di Malaysia sebagai pusat feeder di ASEAN untuk bakat bola sepak di peringkat akar umbi.
Akademi ini juga akan menyediakan para peserta dengan kepakaran teknikal untuk menjadi jurulatih, penganalisis dan mengisi peranan lain yang berkaitan dengan bola sepak, sebagai cara untuk menghasilkan individu bertaraf dunia yang mampu meningkatkan ekosistem bola sepak tempatan.
Akademi Wigan akan mengambil khidmat jurulatih tempatan. Walaubagaimanapun, jurulatih Wigan yang berpangkalan di England akan diterbangkan secara berkala untuk menawarkan kursus intensif yang disesuaikan dengan kepakaran mereka di kelab itu.
Ahli konsortium dari Malaysia itu juga akan mengendalikan bahagian pemasaran dan perniagaan kelab, dengan operasi harian dikendalikan oleh mereka yang berpusat di UK.
Rancangan semasa juga melibatkan penyenaraian bahagian kelab milik Malaysia di Bursa Malaysia secara keseluruhan, memberi peluang kepada rakyat Malaysia untuk memiliki saham pasukan kelab.
Namun seperti yang dilaporkan oleh The Athletic, mereka dicabar oleh beberapa pembida termasuk pengusaha yang berpangkalan di Bolton, Martin Halsall, kumpulan yang merangkumi ahli perniagaan dari Afrika Selatan, Saul Loggenberg, dan lain-lain.
Wigan ketika ini berada di kedudukan terakhir dalam Football League One, dan berada dalam krisis kewangan pada bulan Julai tahun lalu setelah pemiliknya Next Leader Fund yang berpangkalan dari Hong Kong menarik sokongan kewangannya kurang dari sebulan setelah bersetuju untuk membeli kelab tersebut.
Disebabkan itu, Wigan yang sebelum ini beraksi di Liga Championship, disingkirkan ke League One.