Perak akhirnya mengesahkan penamatan kontrak Mehmet Durakovic dan melantik Chong Yee Fatt sebagai jurulatih baharu yang akan menghadapi saingan Liga Malaysia musim 2021.
Ahli Lembaga Pengarah Perak FC, Khairul Shahril Mohamed berkata pengurusan Perak FC dan Mehmet bersetuju secara bersama untuk menamatkan kontrak beliau sebagai ketua jurulatih Perak.
“Ia atas permintaan Mehmet sendiri yang memaklumkan beliau ingin pulang ke Australia untuk menyelesaikan urusan keluarga,” katanya dalam kenyataan.
“Rundingan ini telah berjalan selama lebih satu minggu dan pengurusan menghormati pendirian Mehmed yang memilih untuk kembali ke Australia.
“Ianya merupakan satu keputusan yang sukar dan pastinya ianya satu kehilangan yang besar kepada pasukan.”
Khairul berkata, pihaknya memilih untuk melantik Chong Yee Fatt sebagai jurulatih baharu atas saranan Mehmet sendiri.
“Pengurusan telah mengenal pasti beberapa nama yang sesuai untuk menggantikan posisi beliau sebagai Ketua Jurulatih Perak.
“Atas nasihat Mehmet, kita telah memilih Coach Chong Yee Fatt sebagai pengganti beliau. Satu rundingan bersama Kuala Lumpur United FC telah dibuat untuk membawa pulang Chong Yee Fatt bagi menggalas tanggungjawab sebagai ketua jurulatih Perak.
“Yee Fatt merupakan bekas pemain Perak bagi musim 1981-1983 dan musim 1986 serta pernah menyandang jawatan sebagai pembantu ketua jurulatih bagi musim 2011-2013 dan pada musim 2017 sewaktu pasukan diterajui oleh Karl-Heinz Weigang.
“Pengurusan mengucapkan jutaan terima kasih dan selamat maju jaya kepada Mehmet dan selamat datang kepada Yee Fatt.”
Dalam pada itu, Mehmet mendedahkan bahawa beliau membuat keputusan itu kerana sedang berdepan dengan masalah keluarga.
“Tahun lalu apabila berlaku wabak Covid-19, ia tidaklah mudah bagi saya dan keluarga secara mental dan fizikalnya.
“Jadi kami mengadakan perbincangan keluarga dan saya rasa sudah tiba waktunya untuk kembali menjaga keluarga saya. Keputusan ini tidak mudah, saya harus membuat keputusan tapi saya berterima kasih kepada Perak kerana membenarkan saya meninggalkan perak, mereka sudah menjadi keluarga saya.
“Ini adalah keputusan yang terbaik, jika saya terus berada di sini, ia mungkin akan menjadi semakin teruk bagi saya, saya perlu selesaikan urusan keluarga dan saya sangat berterima kasih kepada Perak.
“Kami bincangkan persetujuan bersama untuk menamatkan khidmat saya sebagai ketua jurulatih Perak FC.
“Ia satu keputusan sedih dan malang untuk mencapai keputusan yang tidak dapat dielakkan.
“Tapi saya berterima kasih terhadap pengurusan Perak yang memahami saya yang perlu menyelesaikan masalah peribadi saya di Australia.”
Bagaimanapun, Mehmet menafikan sama ada keputusannya itu dibuat kerana masalah kewangan dan tunggakan gaji yang dihadapi Perak.
“Ia tidak ada kaitan dengan pembayaran lewat ke tunggakan gaji ke atau masalah lain. Seperti saya kata, keluarga saya adalah segalanya bagi saya.”
Meskipun keputusan itu dibuat secara mengejut, Mehmet berharap Perak akan terus berjaya di masa akan datang dan beliau tidak akan lupakan kenangannya di Perak.
“Saya tidak menyesal dan sangat gembira menjadi jurulatih Perak selama 4 musim. Saya akan menghargai kenangan bersama pemain saya.
“4 tahun yang sangat menakjubkan. Perak seperti keluarga bagi saya. Dapat memenangi Piala Malaysia, dapat finalis Piala FA.
“Semoga saya berjaya melakukan yang terbaik untuk mereka sepanjang 4 tahun untuk pengurusan, untuk penyokong, untuk pemain, untuk barisan jurulatih.
“Saya ingin berterima kasih kepada mereka kerana saya mempunyai tahun-tahun yang indah.”