Liga Premier Malaysia Berita

Kuching City, Sarawak United pindah ke Lembah Klang buat sementara waktu

Kuching City dan Sarawak United membuat permohonan secara rasmi kepada MFL untuk berpindah ke Lembah Klang buat sementara waktu menjelang saingan Liga Malaysia 2021 yang akan bermula pada 5 Mac depan.

Ini selepas negeri Sarawak diisytiharkan sebagai kawasan zon merah Covid-19, sekali gus mana-mana pelawat yang tiba di negeri itu harus menjalani kuarantin selama 14 hari.

Justeru, ada kemungkinan bahawa perlawanan tidak dapat diadakan seperti yang telah dijadualkan sebelum ini.

Oleh itu, Kuching City meminta MFL supaya menukar kesemua empat perlawanan pertama sebagai perlawanan ‘away’, manakala Sarawak United memohon untuk menjadikan Stadium Selayang sebagai gelanggang tuan rumah.

Perkara itu disahkan oleh CEO MFL, Datuk Ab Ghani Hassan yang sudah pun menerima permohonan daripada kedua-dua pasukan itu.

“Kuching meminta empat perlawanan pertama mereka menjadi perlawanan away,” katanya kepada NST.

“Mereka perlu mendapatkan persetujuan dengan kesemua pihak lawan mereka iaitu Terengganu FC II, Sarawak United, Negeri Sembilan dan Selangor 2.

Kuching City dijadualkan bertemu Terengganu FC II (9 Mac), Sarawak United (16 Mac), Negeri Sembilan (3 April) dan Selangor FC 2 (17 April).

Ketua Pegawai Eksekutif KCFC, Iswandi Ali Hassan berkata, ada beberapa pilihan yang boleh diketengahkan buat MFL seperti memohon untuk menjadikan Lembah Klang sebagai venue utama atau beraksi sebagai pasukan lawan pada awal saingan musim ini.

“Kami akan berbincang de­ngan MFL mengenai jadual pa­sukan untuk aksi Liga Premier musim ini,” katanya kepada Kosmo.

“Pilihan utama adalah beraksi sebagai pasukan lawan sehingga kami dapat me­nemui venue tuan rumah baharu nanti.

“Ini kerana berdasarkan situasi sekarang, agak sukar untuk kami mendapatkan stadium dan ia memerlukan masa.

“Justeru, kami akan memohon MFL untuk menjadikan aksi pertama pasukan menentang Terengganu FC II yang sepatutnya berlangsung di Kuching dilangsungkan di gelanggang lawan dan mungkin untuk beberapa perlawanan sehingga tiba bulan Ramadan.”

Sarawak United pula telah berjaya mendapat kelulusan untuk menjadikan Stadium Majlis Perbandaran Selayang sebagai gelanggang tuan rumah buat sementara waktu.

Bagaimanapun, mereka akan berkongsi dengan pasukan Selangor 2 yang juga bersaing dalam Liga Premier, malah perlu beraksi pada jam 4.45 petang.

Pengarah Teknikal Sarawak United, B. Satiananthan mengakui ia akan menjadi cabaran buat para pemainnya.

“Kita tak boleh nak dapatkan stadium yang dibenarkan beraksi pada 8.45 malam kerana semuanya sudah diambil.

“Memang tak ideal untuk beraksi dalam perlawanan tekanan tinggi…mustahil boleh beraksi dengan baik terutamanya jika cuaca terlalu panas.”

Sarawak United akan bertemu Kelantan United dalam perlawanan pembukaan pada 6 Mac depan.